Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman gagal dalam mencabar kredibiliti keterangan saksi utama iaitu bekas Penolong Bendahari Armada Parti Bersatu yang didakwa bercanggah dengan keterangan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Menteri Belia dan Sukan itu terhadap Rafiq Hakim Razali dalam perbicaraan kesnya yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Armada Bersatu berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid dalam hujahnya berkata, kenyataan Rafiq yang tidak dikemukakan di mahkamah tidak boleh digunakan sebagai asas untuk mendakwa bekas Penolong Bendahari Armada itu.

“Saya bersetuju dengan hujah pendakwaan bahawa keterangan yang dibangkitkan pembelaan bukan keterangan saksi di bawah Kanun Prosedur Jenayah.

“Maka, keterangan itu tidak boleh menjadi asas untuk mempersoalkan kredibiliti saksi,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan pasukan pembelaan itu.

Beliau menjelaskan, dakwaan percanggahan yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan hanyalah kecil dan tidak mewajarkan untuk mencabar kredibiliti Rafiq berikutan percanggahan dalam pernyataan saksi dan keterangan lisannya di mahkamah.

Peguam Gobind Singh Deo bagaimanapun berkata, pihak pembelaan akan membuat permohonan baharu untuk mendapatkan kenyataan Rafiq yang direkodkan SPRM ketika disoal siasat pada 2020.

Minggu lalu, selepas menyoal balas saksi ke-13 pendakwaan itu, pihak pembelaan kemudian memohon kepada Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid agar mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti saksi.

Ia berikutan keterangan saksi yang ingin dicabar tidak dimasukkan di mahkamah oleh pihak pendakwaan.

Ibu, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz hadir ke mahkamah bagi mendengar perbicaraan kes yang dihadapi oleh anaknya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 JULAI 2022.

Terdahulu, pada awal prosiding, Rafiq, 32, disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Syed Saddiq berhubung arahan pengeluaran RM1 juta yang dikatakan berlaku di rumah anak guamnya di Petaling Jaya.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – MalaysiaGazette

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 JULAI 2022.