SEPANG – Orang ramai yang ingin mengerjakan ibadah haji pada tahun hadapan diingatkan supaya lebih berhati-hati dengan mana-mana individu dan agensi pelancongan yang menawarkan pakej Visa Furada yang luar biasa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, beliau tidak menolak kemungkinan sindiket haji ‘ekpress’ ini akan menawarkan pakej palsu dan tiada jaminan kuota haji diberikan kepada jemaah terlibat.
“Nasihat saya kepada jemaah akan datang, kalau nampak tawaran Visa Furada yang begitu terbuka dan luar biasa, kita kena hati-hati.
“Apa yang berlaku apabila pihak tertentu mengambil kesempatan untuk perniagaan mereka dengan menawarkan pakej walaupun mereka belum ada jaminan mendapat Visa Furada.
“Malangnya ada agensi pelancongan atau individu tertentu mengambil kesempatan untuk menawarkan pakej Visa Furada palsu kerana ia sangat terhad,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu Ahmad Marzuk diiringi Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji di KLIA, di sini.
Sebelum ini, lebih 400 jemaah Haji terkandas di KLIA ekoran tidak dapat berlepas ke Jeddah, Arab Saudi pada malam 7 Julai lalu.
Bakal jemaah itu dipercayai menggunakan Visa Furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Tabung Haji (TH).
Dalam pada itu, pihaknya bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mewujudkan satu mekanisem khas untuk memastikan tiada lagi penipuan melibatkan Visa Furada pada masa akan datang.
“Kita akan ada mekanisme tertentu di masa akan datang untuk memastikan jemaah tidak lagi tertipu dengan dakwaan agensi tertentu.
“Kita akan bincang dengan MOTAC kerana agensi pelancongan itu sebenarnya di bawah MOTAC, cuma kita bekerjasama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette