Peguam R. Sivaraj (kanan) dan Ramesh Chandran yang mewakili wanita didakwa hina Islam, Siti Nuramira Abdullah hadir ke mahkamah bagi membayar ikat jamin berjumlah RM20,000 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Siti Nuramira Abdullah bersama teman lelakinya, V. Alexander Navin yang  menghina Islam di kelab komedi selesai melunaskan wang ikat jamin sebanyak RM40,000, hari ini.

Peguam yang mewakili pasangan kekasih itu, R. Sivaraj mengesahkan ikat jamin berkenaan dibayar oleh rakan mereka di Mahkamah Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor.

“Wang RM40,000 yang dikumpul pagi tadi untuk ikat jamin Siti Nuramira dan Alexander Navin adalah hasil kutipan sumbangan anjuran kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL).

“Bagaimanapun, mana-mana sumbangan tambahan yang dihulurkan selepas ini akan dipulangkan semula kepada penderma,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Sivaraj berharap pasangan ini akan dibebaskan dengan segera sama ada hari ini atau esok.

“Saya percaya terdapat beberapa prosedur yang ditetapkan pihak penjara sebelum membawa mereka keluar ditambah dengan situasi pandemik ketika ini.

“Buat masa ini, Siti Nuramira dan Alexander Navin masing-masing ditahan di Penjara Satelit Beranang dan Kuala Kubu Bharu, Selangor,” ujarnya.

Rabu lalu, Siti Nuramira, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat Islam semasa persembahannya di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail, pada 4 Jun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali, membenarkan Siti Nuramira, diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan turut memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulas mengenai kes berkenaan.

Pada hari yang sama, Alexander Navin, 38, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa berkongsi hantaran di akaun Instagramnya pada 5 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Pertuduhan kedua, dia didakwa berkongsi kandungan melalui akaun YouTubenya pada 16 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Hakim Mahkamah Sesyen Azrul Darus kemudian membenarkan Alexander Navin diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 September untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette