KUALA LUMPUR – Harga minyak masak tulen botol yang melambung lebih 40 peratus daripada harga siling sebelum ini dijangka turun sebanyak 10 peratus dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, sasaran itu dibuat dalam mesyuarat hari ini susulan penurunan harga komoditi itu.
“Sepantas mana pengilang menaikkan harga, saya harap sepantas itu juga mereka kena turunkan harga,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Hadir sama adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menurutnya, harga minyak masak yang tidak disubsidi masih pada paras yang tinggi, berdasarkan laporan yang diberikan oleh jawatankuasa hari ini.
Ini menunjukkan trend menurun telah dilaksanakan oleh beberapa peruncit tapi belum menyeluruh.
“Kita bersetuju untuk memohon kerjasama semua pengilang dalam masa seminggu dua dari sekarang. Kita mahu lihat harga minyak masak diturunkan sekurang-kurangnya 10 peratus lebih rendah,” tambahnya.
Jelasnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan pengilang-pengilang minyak sawit akan memberi kerjasama menurunkan harga bahan mentah itu.
Dan, penurunan harga minyak masak botol itu perlu disegerakan.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Pasukan Jihad Tangani Inflasi berpuas hati dengan pelaksanaan harga siling ayam pada masa ini.
Rata-rata harga ayam dijual di bawah harga pasaran yang ditetapkan dan harga purata mingguan sehingga 9 Julai lalu ialah pada RM9.22 sekilogram dan telah ada negeri-negeri yang mula menjual pada harga lebih rendah.
Misalnya di Pahang antara yang terendah ialah RM8.95 sekilogram.
Dalam pada itu, kerajaan akan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dengan melibatkan lebih 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 13 kawasan Parlimen di ibu negara.
Jelas Annuar lagi, program ini akan diadakan pada setiap minggu bagi membantu rakyat berdepan dengan kenaikan harga barang terutamanya harga ayam dan minyak masak.
“Kekerapan sasaran adalah setiap minggu, jadi dalam masa lima bulan kita sasarkan 12,000 program jualan murah diadakan.
“Antara produk-produk yang akan dijual adalah ayam, telur ayam, minyak masak dan beras dengan harga yang jauh lebih rendah.
“Barangan lain boleh disenaraikan sekiranya rakyat mahu ia dijual tapi kita akan fokus kepada barangan keperluan rakyat,” katanya dalam sidang media sama.
Untuk rekod, PJKM yang dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pada 2 Disember tahun lalu yang antaranya menawarkan barangan keperluan pada harga sehingga 20 peratus lebih murah, berbanding harga pasaran, sekali gus dapat membantu meringankan bebanan kos sara hidup dalam situasi mencabar ketika ini.
PJKM kali kedua ini yang dikenlolakan KPDNHEP akan turut disertai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP). – MalaysiaGazette
















