KUANTAN – Pusat Kutipan Zakat Pahang mengagihkan RM801,000 kepada Institusi Pendidikan di negeri ini.

Menurut satu kenyataan, daripada jumlah itu, sebanyak RM248,000 diagihkan kepada maahad tahfiz dan madrasah berdaftar tahun ini, berbanding RM194,000 tahun sebelumnya.

“Selain itu, sejumlah RM174,000 diagihkan kepada Sekolah Menengah Agama Negeri, RM151,000 kepada Kelas Al-Quran Kanak-kanak (KAKK), RM131,000 kepada Institusi Pendidikan Bukan Milik Kerajaan (IPTA/IPTS) dan RM96,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK),” katanya.

Sumbangan berkenaan yang diadakan di Dewan Syarahan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), di sini, pada Khamis lalu membabitkan penyerahan subangan kepada 31 institusi.

Ia melibatkan tujuh buah sekolah dalam kategori Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), lima buah sekolah maahad tahfiz, empat buah sekolah menengah, empat buah sekolah rendah, lapan buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) serta dua institut pengajian tinggi swasta (IPTS). – MalaysiaGazette