Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkongsi draf laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan isu tuntutan waris Kesultanan Sulu.

Draf tersebut bagi memudahkan ahli PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk membuat laporan polis terhadap Najib di seluruh negara esok.

Rafizi mendakwa, Najib wajar bertanggungjawab ke atas kegagalan dan kecuaiannya semasa menjadi Perdana Menteri di antara tahun 2013 hingga 2017 yang membawa kepada tuntutan waris Kesultanan Sulu.

“Minggu lalu saya telah menunjukkan bahawa masalah yang diwarisi oleh tiga Kerajaan Persekutuan berturut-turut mengenai tuntutan waris Kesultanan Sulu sebenarnya bermula di zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

“Apabila negara mula mengetahui mengenai tuntutan waris Kesultanan Sulu yang melibatkan aset Petronas bernilai sekitar RM9 bilion baru-baru ini, Najib cepat-cepat cuba mengalihkan fokus rakyat dengan menuding jari kepada pentadbiran-pentadbiran selepas beliau.

“Sedangkan kertas timbang tara secara jelas menunjukkan fakta notis tuntutan itu telah disampaikan kepada pentadbiran beliau bertarikh 2 November 2017. Tuntutan itu juga bermula selepas pentadbiran beliau menghentikan bayaran kepada waris Kesultanan Sulu sejak 2013 lagi,” katanya.

Menurut Rafizi, rakyat boleh mengambil tindakan undang-undang sama ada di bawah Kanun Jenayah atau tindakan saman sivil terhadap mana-mana penjawat awam yang telah cuai dalam menjalankan tugas awam.

Katanya, dalam isu tuntutan Sulu kecuaian Najib semasa menjadi Perdana Menteri telah mendedahkan negara kepada tuntutan aset sebanyak RM67.5 bilion.

“Dengan ini, saya telah meminta cabang-cabang dan pimpinan Keadilan seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap kecuaian Najib semasa menjadi Perdana Menteri sehingga membawa kepada tuntutan waris Sulu.

“Saya juga memanjangkan jemputan kepada aktivis akar umbi Amanah dan DAP di seluruh negara untuk bersama-sama dengan KEADILAN menyertai siri laporan polis,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Rafizi turut menggalakan mereka yang membuat laporan polis supaya membuat kenyataan media dan menyebarkan visual ke media sosial dengan tujuan untuk mendidik rakyat mengenai kesan kecuaian penjawat awam di peringkat tertinggi kepada rakyat.

Dalam Kongres PKR ke-16 semalam, Rafizi menetapkan beberapa tugas yang perlu dipikul ahli parti tersebut dalam tempoh terdekat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16, antaranya menyanggah kenyataan Najib.

Sebagai permulaan, Rafizi yang baharu sahaja dilantik ke jawatan itu pada pemilihan lalu meminta semua perwakilan di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Najib ekoran Ahli Parlimen Pekan itu didakwa memainkan isu perkauman dan meracuni pemikiran rakyat. – MalaysiaGazette