Seorang pencuci kapal yang didakwa mengelar isteri dan anaknya berusia dua bulan mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang pencuci kapal yang didakwa mengelar isteri dan anaknya berusia dua bulan mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd. Amir Nazri Mohd. Adam, 24, mengangguk tanda faham ketika kertas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim.

Tertuduh kelihatan sugul di kandang mahkamah dan dilihat terpinga-pinga semasa proses perbicaraan dijalankan.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Mohd. Amir didakwa menyebabkan kematian terhadap Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan Hans Mohamad Thaqeef Mohamad Amir Nazri berusia dua bulan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru antara pukul 11.30 dan 11.40 pagi pada 4 Julai lalu.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika didapati bersalah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qayyum Ramlan, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali dan Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd. Zulhilmi kemudian memerintahkan tertuduh dibawa ke Hospital Permai bagi mendapatkan laporan kesihatan mentalnya hari ini.

Manakala 18 Ogos depan ditetapkan tarikh sebutan semula kes dan laporan bedah siasat, DNA dan psikiatri. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes kelar isteri, polis sudah rakam keterangan 11 saksi – Kamarul Zaman