KUALA LUMPUR – Parti Warisan Sabah (Warisan) menggesa kerajaan menyatakan pendirian terhadap isu-isu tuntutan waris Sultan Sulu yang berbangkit baru-baru ini.
Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dan segera kerana isu berkenaan bukan sahaja melibatkan Sabah tetapi juga membabitkan kedaulatan negara.
“Saya mahu tahu apa pendirian negara dan ketegasan negara untuk perjuangkan apa yang dituntut oleh Sulu in. Saya lihat kerajaan sambil lewa dan cuai terhadap isu ini. Tidak menyegerakan tindakan yang sepatutnya.
“Kadang-kadang saya sebagai anak Sabah melihat negeri ini hanya digadaikan. Sampai tahap apa lagi baru kerajaan ambil tindakan seterusnya?
“Yang saya jangkakan adalah sikap ketegasan kerajaan Malaysia. Tidak cukup lagikah aset Petronas dirampas, kita tunggu apa lagi yang dirampas,?” soalnya ketika sidang media di Parlimen, hari ini.
Turut hadir ketika sidang media, tiga Ahli Parlimen Warisan iaitu Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Datuk Rozman Isli (Labuan) dan Maimun Sulaiman (Kalabakan).
Terdahulu, usul Isnaraissah supaya tuntutan Sulu dibahas dan dibincangkan secara terbuka di dalam Dewan Rakyat ditolak Speaker.
Katanya, usul berkenaan ditolak untuk kali ketiga selepas dua permohonan sebelum ini dibuatnya pada Mac yang lalu.
Isnairassah Munirah yang tidak berpuas hati terhadap keputusan itu mengakibatkan kekecohan tercetus di dalam dewan.
Beliau kemudian minta keluar dari dewan dan digantung daripada menghadiri Dewan Rakyat selama dua hari.
Antara perkara yang dipertikaikannya adalah kelewatan kerajaan membuat permohonan untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitarsi Paris.
Tambahnya, beliau tidak mahu Sabah berhadapan dengan kesan daripada tuntutan berkenaan, seperti pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu yang berlaku sembilan tahun yang lalu.
“Kami tidak mahu nanti kami orang Sabah yang akan hadap macam serangan di Tanduo sebelum ini,” tegasnya.
Sehubungan itu, Isnaraissah berkata, beliau akan menghantar semula notis permohonan membawa usul berkenaan kepada Speaker untuk kali yang keempat, pada hari ini supaya ia dapat dibahaskan secara terbuka oleh semua Ahli Parlimen.
“Kenapa takut nak bahas? Saya minta semula, kalau tadi Speaker memberi bayangan untuk menerima usul saya, saya harap ia disegerakan sebab isu ini sangat penting, apa yang saya minta adalah untuk kerajaan selesaikan isu tuntutan ini,” katanya.
Pada Februari lalu dilaporkan penimbang tara negara itu, Dr Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu.
Ia berikutan, Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah (pampasan) berjumlah RM5,300 setahun sejak 2013 dan dianggap telah melanggar Perjanjian 1878 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.
Pada 11 Julai lalu, peguam pihak yang menuntut itu dilaporkan telah merampas aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg dengan nilai dilaporkan mencecah lebih RM8.8 bilion.
Bagaimanapun, Petronas kemudiannya memaklumkan sudah melupuskan dua asetnya di Azerbaijan dan hasilnya sudah dipulangkan.
Pada 12 Julai lalu, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitarsi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia. – MalaysiaGazette