Datuk Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Benar, saya bukan lagi pengerusi agensi itu lagi, demikian ringkas kenyataan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairudin Aman Razali.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai namanya sudah tidak ada dalam senarai Ahli Lembaga Pengarah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sejak awal bulan ini.

“Saya sudah letak jawatan sebagai Pengerusi PAAB pada 30 Jun lalu dan ia telah dipersetujui oleh semua pihak termasuk Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Cukuplah enam bulan saya bersama PAAB, berilah ruang kepada orang lain pula untuk meneruskan legasi yang ada,” katanya menerusi program SKOP MG hari ini

Enggan mendedahkan lebih lanjut, Mohd Khairuddin menyifatkan ia perkara biasa apabila pengerusi atau mana-mana ahli lembaga pengarah meletakkan jawatan.

“Itu kuasa perdana menteri dan cadangan daripada menteri KASA sendiri yang diberi tanggjungjawab untuk menjaga PAAB,” katanya.

Ditanya mengenai apakah keputusan itu ada kaitan dengan politik, Khairuddin berkata, seharusnya perkara itu tidak berlaku.

“Sepatutnya tak perlu ada kaitan dengan politik kerana ia berkaitan isu rakyat. Tapi, bagi saya, cukup untuk saya menyumbang dan berilah kepada orang lain meneruskannya,” ujarnya.

Pada 13 Julai lalu, MalaysiaGazette melaporkan mengenai nama Khairuddin tidak lagi ada di laman sesawang syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan itu dengan profil dan gambar Mohd Khairuddin diturunkan daripada senarai Ahli Lembaga Pengarah PAAB.

Bulan lalu, portal MalaysiaGazette juga melaporkan, desas desus mengenai Kementerian Kewangan yang ketika itu dipercayai sedang mempertimbangkan untuk menamatkan perkhidmatan bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif PAAB.

Ia susulan keputusan Mohd Khairuddin keluar daripada Pas pada 14 Mac lalu memandangkan pelantikannya sebagai Pengerusi PAAB ketika beliau bersama parti tersebut. – MalaysiaGazette