Sultan dan Permaisuri Johor berkenaan berangkat ke Singapura eratkan hubungan kedua-dua negara.

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah akan berangkat ke Singapura esok untuk lawatan rasmi.

Ia atas jemputan  Perdana Menteri Singapura, Datuk Lee Hsien Loong.

Turut mengiringi baginda berdua ialah  Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibrahim  dan isteri, Che’ Puan Besar Khaleeda.

Perdana Menteri  Singapura telah mempersembahkan surat jemputan lawatan rasmi menerusi Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan pada Disember lalu ketika beliau mengadap Sultan Johor.

Hubungan Johor dan Singapura terus diperkukuhkan pada Mei lalu apabila Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan darjah kebesaran tertinggi Istana Johor kepada Hsien Loong dan isteri.

Baginda berkenan mengurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Datuk Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J.).

Sultan Johor turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama, Datuk Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (S.M.I.J.) kepada isteri Perdana Menteri Singapura, Datin Paduka Ho Ching.

Bersempena lawatan rasmi itu, Sultan Johor dan Permaisuri Johor akan disambut oleh Hsien Loong dan Datin Paduka Ho Ching beserta menteri Singapura.

Bersempena lawatan itu, Sultan Johor akan mengadakan kunjungan ke atas Presiden Singapura, Halimah Yacob.

Sultan Johor akan turut dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang dari National University of Singapore (NUS) oleh Halimah yang juga Canselor NUS sebagai mengiktiraf sumbangan baginda terhadap penambahbaikan hubungan dua hala.

Taman Botani Singapura akan turut mempersembahkan orkid khas yang dinamakan sempena Baginda berdua, Ibrahim Zarith sebagai penghormatan atas lawatan rasmi berkenaan.

Bunga orkid merupakan bunga kebangsaan Singapura.

Bersempena lawatan rasmi selama dua hari, Sultan Johor dijangka berangkat ke beberapa acara termasuk lawatan ke tapak Projek RTS di Woodlands, Institut Yusof Ishak (ISEAS) dan Pangkalan Udara Sembawang.

Manakal Permaisuri Johor turut berangkat mengadakan lawatan ke APSN Delta Senior School serta Muzium Tamadun Asia.-MalaysiaGazette