Empat penunggang motosikal maut dalam satu kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Jelutong, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang lagi mangsa kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini pada Ahad lalu disahkan meninggal dunia hari ini.

Mangsa, Mohd Haziq Harris, 34, yang mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang (HPP) pada pukul 2.15 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kematian itu menjadikan jumlah mangsa maut dalam kemalangan membabitkan penunggang motosikal yang disyaki terlibat dalam lumba haram itu kini menjadi lima orang setakat ini.

“Kita menerima panggilan daripada HPP yang mengesahkan salah seorang mangsa yang dirawat disahkan meninggal dunia manakala dua lagi mangsa masing-masing seorang telah dibenarkan pulang ke rumah dan seorang lagi sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta.

“Mangsa yang dibenarkan pulang adalah Muhammad Rahimi Shukor, 19, dari Ayer Itam manakala Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani, 22, dari Pendang, Kedah sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

MalaysiaGazette pada Ahad lalu melaporkan, empat maut manakala tiga penunggang motosikal parah selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.

Polis Pulau Pinang mengesahkan kejadian itu dipercayai akibat daripada kegiatan lumba haram. – MalaysiaGazette