Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Polis setakat ini telah membuka sebanyak 70 kertas siasatan berkaitan dua jenis skim penipuan pelaburan iaitu BTC financial trading atau finance trader dan smart trader best exchange yang membabitkan kerugian lebih RM1.37 juta di negara ini.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, sejumlah 22 kertas siasatan telah dibuka terhadap skim pelaburan BTC financial trading/ finance trader sehingga Isnin lalu dengan membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM708,400.

“Bagi skim pelaburan smart trader best exchange pula, sebanyak 48 kertas siasatan telah dibuka polis melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM661,672.16,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Noorsiah, kedua-dua skim pelaburan itu menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp untuk menjerat mangsa mereka.

“Pada mulanya, mangsa akan dijanjikan pulangan sekitar 50 hingga 100 peratus dalam tempoh tiga hingga enam jam setelah pelaburan dibuat.

“Kemudian, mangsa yang berminat akan diminta untuk membuat pendaftaran melalui pautan yang diberikan seterusnya membuat pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh pihak sindiket.

“Mangsa kemudiannya akan dimaklumkan telah mendapat keuntungan namun dikenakan pelbagai syarat tambahan sekiranya ingin membuat pengeluaran wang tersebut,” katanya.

Tegasnya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan berkaitan, orang ramai dinasihatkan berwaspada sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan lumayan.

Maklumat lanjut mengenai tawaran pelaburan boleh diperoleh dari sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan. – MalaysiaGazette