Rina Mohd. Harun

KUALA LUMPUR – Kerajaan berpendapat pindaan Rang Undang-undang (RUU) Antigangguan Seksual (RUU AGS) 2021 merupakan satu manifestasi membendung kes gangguan seksual.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, pembentangan bacaan kali kedua  mencerminkan satu pelanggaran hak asasi manusia dan satu bentuk keganasan berasaskan gender serta diskriminasi terhadap mangsa.

Malah Rina berkata, ia selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita yang disertai sejak 5 Julai 1995.

“RUU ini akan menjadi suatu akta yang mengiktiraf gangguan seksual sebagai pencabulan maruah manusia, satu bentuk diskriminasi dan keganasan berasaskan gender.

“Ia seterusnya mengadakan peruntukan bagi hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual melalui penubuhan tribunal bagi antigangguan seksual selain menggalakkan kesedaran tentang gangguan seksual dengan mengadakan peruntukan yang berkaitan dengannya,” katanya ketika membentangkan pindaan RUU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Rina berkata, pindaan itu juga selaras dengan peruntukan bawah Perkara 8 dalam Perlembagaan Persekutuan yang memastikan kesamarataan setiap individu dan menolak sebarang bentuk diskriminasi termasuklah berasaskan gender.

Kementerian kata Rina telah menggariskan aspek yang menjadi fokus untuk menggubal RUU berkenaan.

“Pertama, isu gangguan seksual yang terus berlaku dalam masyarakat dan kedua, Malaysia masih belum mempunyai undang-undang khusus berhubung gangguan seksual,” jelasnya.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu menegaskan, isu gangguan seksual harus diberi perhatian khusus kerana jika dibiarkan, budaya negatif itu boleh mendorong kepada perlakuan jenayah seksual yang lebih berat dan serius.

“Lain-lain kelakuan tidak diingini yang bersifat seksual dalam apa-apa bentuk sekalipun termasuklah rogol,” ujarnya. – MalaysiaGazette