Kenderaan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti penyeludupan minyak diesel bersubsidi. Foto ihsan:IPK Johor

KOTA TINGGI – Sindiket penyeludupan diesel bersubsidi terbesar di Johor ditumpaskan polis susulan rampasan sebuah kapal tangki serta 122,000 liter diesel bernilai RM10.7 juta di jeti Sungai Tiram di sini kelmarin.

Ketua Polis Johor,  Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kejayaan hasil risikan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi sebelum serbuan dilakukan kira-kira pukul 1 pagi pada Ahad lalu.

Seramai 19 suspek membabitkan 11 lelaki tempatan dan lapan lelaki warga asing berusia antara 26 hingga 58 tahun  ditahan di premis yang dijadikan transit penyeludupan.

“Kita percaya sindiket penyeludupan diesel bersubsidi ini sudah beroperasi sejak sebulan lalu. Modus operandi menjadikan lokasi sunyi dan jauh di pedalaman serta sukar dimasuki dan dalam kes ini ia berhampiran sebuah jeti di Sungai Tiram.

“Ia dijadikan sebagai tempat transit penyeludupan minyak dari treler minyak ke kapal tangki sebelum dibawa ke perairan antarabangsa,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di premis penyeludupan sindiket berkenaan di sebuah jeti berhampiran Sungai Tiram hari ini.

Difahamkan minyak diesel berkenaan dibeli pada harga subsidi RM2.15 seliter sebelum ia dijual pada harga RM3.50 di pasaran gelap antarabangsa.

Kamarul Zaman berkata, polis kini sedang menyiasat sumber diesel yang cuba diseludup berkenaan dan rangkaian pemasarannya di pasaran gelap.

“Polis percaya ia bukan untuk pasaran tempatan kerana ia dibawa ke perairan antarabangsa sebelum dijual. Kita berharap supaya pengusaha stesen minyak tampil bekerjasama membantu siasatan bagi memastikan kegiatan penyeludupan diesel dapat dihapuskan,” katanya lagi.

Selain kapal tangki dan 122,000 liter diesel yang berada di dalam tiga treler yang tidak sempat dipindahkan, Kamarul Zaman berkata, polis turut merampas sebuah sistem GPS kapal selain tujuh hos berserta peralatan enjin pendingin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda maksimum RM1,00,000, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. Kes juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast