Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Subvarian terbaharu Covid-19 ,iaitu BA.5, mencatatkan kenaikan jangkitan virus itu di negara ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Katanya, peningkatan subvarian ini mula dikesan sejak pertengahan Jun lalu.

“Berdasarkan hasil survelan genom SARS-CoV-2 yang dilaksanakan oleh ahli-ahli Konsortium IMR-KPT-MGVI serta hasil penyumberluaran perkhidmatan penjujukan genom SARS-CoV-2, didapati bahawa trend kenaikan kes adalah melibatkan varian BA.5 iaitu seperti yang sedang berlaku di negara-negara lain seperti Singapura, Afrika Selatan dan Eropah,” katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab pertanyaan Rubiah Wang (GPS- Kota Samarahan) yang ingin mengetahui keadaan terkini ancaman varian baharu Covid-19 dan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menghadapinya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Pada 8 Julai lalu, Khairy mendedahkan subvarian Omicron BA.5 yang mempunyai dua ciri utama adalah paling mudah merebak telah dikesan di negara ini.

Subvarian BA.5 mempunyai kadar jangkita lebih tinggi berbanding dengan subvarian lain dan mempunyai kadar kerintangan yang lebih tinggi terhadap antibodi yang dihasilkan oleh vaksin Covid-19 dan dengan ini boleh menyebabkan jangkitan semula.

Justeru itu, KKM telah mempersiapkan beberapa langkah proaktif antaranya mengaktifkan semula National Covid-19 Rapid Response Task Force (RRTF) apabila peningkatan kes Covid-19 mencapai suatu nilai ambang yang dikenal pasti.

“Pasukan RRTF ini ditubuhkan bagi mengelakkan krisis apabila sistem kesihatan di Malaysia semakin dibebani dengan lambakan kes Covid-19,” jelas Khairy.

Dalam pada itu, KKM juga akan memastikan akses kecemasan dan krisis sentiasa bersedia apabila diperlukan, memastikan kebajikan individu yang terkesan dengan jangkitan Covid-19 tidak terabai, memastikan pengendalian dan penyampaian komunikasi strategik yang berkesan bagi mengurangkan serta meredakan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Turut diperkenalkan penggunakan ubat antiviral Paxlovid ke dalam COVID-19 Clinical Care Pathway sejak 15 April dalam kalangan pesakit yang menerima rawatan di Klinik Kesihatan, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital di bawah KKM.

“Ubat ini merupakan ubat antiviral oral pertama di Malaysia untuk merawat pesakit Covid-19 yang mengalami gejala ringan hingga sederhana, atau pun kategori 2 dan kategori 3.

“Keutamaan pemberian rawatan Paxlovid adalah kepada kumpulan pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi,” jelas Khairy.

Kadar jangkitan harian Covid-19 berkurangan kepada 3,080 kes baharu semalam berbanding 3,936 kes kelmarin.

Menurut data di laman sesawang CovidNow, ia membabitkan 3,079 kes penularan tempatan dan satu kes import.

Tujuh kematian direkodkan semalam, termasuk tiga kes melibatkan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID). – MalaysiaGazette