Najib Tun Razak (kiri) dan Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli boleh disiasat berhubung laporan polis yang dibuat mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak cuai dalam mengendalikan tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Malaysia.

Najib mendakwa, laporan polis yang dibuat oleh Rafizi hari ini sebagai palsu kerana menuduh beliau cuai menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri sehingga menyebabkan Malaysia disaman oleh waris Kesultanan Sulu.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, laporan polis sepatutnya dibuat untuk menggesa pihak berkuasa menyiasat pihak yang telah meluluskan sepucuk surat yang ditulis oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas kepada peguam Sulu.

“Rasanya pihak polis dah boleh siasat sekiranya laporan-laporan yang dibuat geng PKR merupakan tindakan membuat laporan palsu.

“Yang patut dibuat laporan polis ialah untuk siasat siapa yang luluskan Tommy untuk tulis surat bodoh itu memandangkan Kabinet PH kata mereka tak pernah bincang isu tuntutan Sulu dan tak pernah tahu wujudnya surat tersebut,” kata Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu sekali lagi menengaskan, tuntutan saman yang dikemukakan oleh waris Sultan Sulu terbabit hanya berlaku selepas beliau tidak lagi menjawat jawatan Perdana Menteri.

Katanya, melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Junaidi, notis timbang tara berkaitan kes itu hanya diserahkan kepada kerajaan Malaysia pada 30 Julai 2019.

Kerajaan PH menurut Najib, tidak menghantar wakil untuk menghadiri prosiding Mahkamah Timbang Tara pada masa itu.

“Ini juga bermaksud bahawa laporan polis yang digerakkan Rafizi kononnya saya cuai dalam menangani saman Sulu adalah salah sebab memang tiada saman rasmi terhadap Malaysia yang dimulakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Yang ada cuma satu notis awal niat untuk memulakan timbang tara, bertarikh 2 November 2017. Enam bulan kemudian kerajaan dah tukar tangan pada PRU-14. Jadi, siapakah yang cuai sebenarnya?” tanya Najib.

Rafizi serta pemimpin dan ahli Pakatan Harapan hari ini membuat laporan polis terhadap Najib berhubung dakwaan kecuaiannya sehingga menyebabkan Malaysia berdepan tuntutan RM67.5 billion daripada waris kesultanan Sulu.

Laporan itu dibuat bagi membolehkan kertas siasatan dibuka dan tindakan terhadap Najib dapat diambil mengikut peruntukan kanun jenayah yang sedia ada.

Rafizi sebelum ini berkata, tindakan terhadap Najib boleh diambil di bawah Akta 574 dan peraturan-peraturan yang mengikat seorang penjawat awam semasa dalam perkhidmatan seperti Perkara 132 (Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam) dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di bawah Perlembagaan Persekutuan (P.U.A. 395).

Menurutnya, akta dan peraturan itu boleh diguna pakai dalam menentukan unsur-unsur kecuaian yang dilakukan Ahli Parlimen Pekan itu dalam menangani isu berkenaan. – MalaysiaGazette