918 orang pengunjung diperiksa di 20 serbuan dalam pusat hiburan sekitar ibu negara sehingga 17 Julai lalu. Ihsan IPKKL

KUALA LUMPUR – Tiga ‘doktor’ pusat hiburan ditahan polis kerana disyaki membekalkan dadah dalam operasi yang dilakukan pada 15 hingga 17 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, sebanyak 10 pusat karaoke dan 10 pub dan bar di sekitar ibu negara diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur dengan bantuan JSJN Bukit Aman dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman.

“Hasil serbuan pihak polis telah melakukan pemeriksaan ke atas 918 orang di kesemua premis berkenaan.

“Hasilnya kita berjaya menangkap seramai 180 orang di bawah pelbagai kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sejumlah pelbagai jenis dadah dirampas di pusat hiburan yang diserbu selama tiga hari sehingga 17 Julai lalu. IPKKL

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut di pusat hiburan yang diserbu pasukan merampas pelbagai jenis dadah iaitu kokain seberat 1.46 gram, serbuk MDMA (444.34 gram), Ketamin (21.82 gram), ekstasi (12.26 gram) dan Erimis (5 2.79 gram) dipercayai untuk kegunaan pengunjung di pusat hiburan.

“Turut ditahan adalah seorang warga tempatan, seorang lelaki warga Iran dan warga Bangladesh yang dikenalpasti sebagai doktor pusat hiburan iaitu pembekal dadah di pusat hiburan.

“Selain daripada itu, sebanyak tiga saman di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan telah dikeluarkan atas kesalahan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah,” ujarnya.

Menurut Azmi, tindakan yang dilaksanakan pihaknya menunjukkan polis Kuala Lumpur khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur sentiasa mengambil tindakan dalam memastikan tiada pusat hiburan di ibu negara dijadikan lubuk pengedaran dadah.

Katanya, tindakan itu akan diteruskan dan dipertingkatkan lagi mengelakkan golongan belia khususnya terjebak dalam masalah dadah. – MalaysiaGazette