KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun menghela nafas lega apabila Rang Undang-undang (RUU) Anti Gangguan Seksual (Akta AGS) 2021 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, penggubalan undang-undang ini bukan untuk menghukum pesalah kes gangguan seksual, tapi lebih kepada mendidik masyarakat bahawa budaya ini adalah satu kesalahan jenayah.
“Kita nak beri kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat bahawa gangguan seksual ini tidak sepatutnya dinormalisasikan.
“Kita lihat dalam kajian-kajian yang telah kita buat sebelum ini ramai wanita-wanita yang tidak mahu tampil ke hadapan untuk membuat laporan berkaitan gangguan seksual ini.
“Banyak antaranya kerana mereka malu dan fobia dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
RUU Anti Gangguan Seksual (Akta AGS) 2021 diluluskan selepas lebih 20 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan sejak semalam.
RUU itu dirangka lebih 10 tahun lalu.
Melalui RUU ini, ia mengiktiraf gangguan seksual sebagai pencabulan maruah manusia, satu bentuk diskriminasi dan keganasan berasaskan jantina.
Ia memperuntukkan hak tebus rugi bagi individu yang diganggu secara seksual melalui penubuhan tribunal anti gangguan seksual.
Jelas Rina, selepas RUU itu diluluskan, pegawai kementeriannya akan melakukan jelajah ke seluruh negara bersama-sama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat mengenai akta tersebut.
“Kita berharap dengan kelulusan RUU ini kita dapat menghentikan budaya gangguan seksual. Ini tepat pada masanya kerana sekarang kalau kita lihat pasca pemulihan ekonomi ramai wanita yang akan kembali bekerja, dan perlu untuk sediakan persekitaran pekerjaan yang lebih selamat,” katanya. – MalaysiaGazette