Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PETALING JAYA – Susulan pelantikan barisan kepimpinan Keadilan baharu bagi penggal 2022-2025 yang selesai dijalankan sejak Ahad lalu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengadakan mesyuarat pertamanya, malam ini.

MalaysiaGazette difahamkan agenda utama mesyuarat malam ini bagi memilih beberapa jawatan dalam MPP secara lantikan.

Mesyuarat pertama yang dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dijangka membincangkan individu yang sesuai untuk mengisi kekosongan ahli MPP secara lantikan dalam parti tersebut.

Antaranya ialah Naib Presiden dengan tiga kekosongan, masing-masing satu jawatan bagi Setiausaha Agung, Bendahari Agung, Ketua Penerangan, Setiausaha Pengelola serta enam ahli MPP.

Turut dilantik Pengarah Strategik, Pengarah Komunikasi, Timbalan Setiausaha Agung dan Timbalan Ketua Penerangan.

Terdahulu, Anwar tiba di ibu pejabat PKR kira-kira jam 7.50 malam, manakala Dr Maszlee Malik merupakan pimpinan terakhir yang tiba bagi menghadiri mesyuarat MPP.

Ahad lalu, pemilihan PKR bagi penggal 2022-2025 menyaksikan kira-kira 80 peratus muka baharu sebagai ahli MPP untuk tempoh tiga tahun.

Antara yang memenangi pemilihan parti ialah Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden, empat Naib Presiden iaitu Datuk Seri Amirudin Shari, Chang Lih Kang, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Selain itu, kedua-dua sayap turut mendapat pemimpin baharu iaitu Fadhlina Sidek sebagai Ketua Wanita, manakala Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula diterajui Adam Adli Abdul Halim.

Lebih menarik apabila Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan turut memenangi jawatan ahli MPP yang dipertandingkan dalam Kongres Nasional ke-16, Sabtu lalu. – MalaysiaGazette