MELAKA – Dua pemandu cedera dalam nahas melibatkan lima buah kenderaan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran simpang ke tapak pelupusan sampah Sungai Udang, di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira jam 10.40 pagi itu dipercayai berpunca daripada sebuah lori simen yang datang dari arah Cheng menghala Sungai Udang mengalami masalah brek sebelum merempuh belakang sebuah lori ketika berhenti di lampu isyarat di simpang berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, rempuhan kuat itu mengakibatkan lori tersebut turut terlanggar tiga buah lagi kenderaan di hadapannya.
“Akibatnya, pemandu lori berusia 37 tahun itu luka di kaki, tangan dan muka manakala seorang lagi pemandu wanita kereta di hadapannya berumur 31 tahun bengkak di lutut dan mata.
“Siasatan turut mendapati pemandu lori simen berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaannya kerana mengalami masalah pada sistem brek sehingga mengakibatkan nahas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam ini.
Tambahnya, ketika kejadian tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan setakat ini tiada saksi kejadian tampil memberi keterangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette.