KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan harga minyak masak botol akan turun dalam masa dua minggu lagi.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penurunan tersebut membuktikan kejayaan lima strategi yang dilaksanakan kementeriannya.
“Lima strategi serampang kementerian kita menampakkan hasil terutama ayam dan telur. Harga minyak masak botol juga dijangka akan turun dalam masa dua minggu lagi.
“Ini selari dengan turunnya harga minyak masak mentah dari RM7,000 kepada RM3,600 per tan metrik minggu ini,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan KPDNHEP Julai 2022 di Menara SSM hari ini.
Jelas Alexander, strategi lima serampang yang diambil adalah bukti kementeriannya mengambil serius kenaikan harga barang yang membebankan kos sara hidup rakyat.
“Banyak yang terkesan dengan kenaikan harga barang, jadi lima strategi kita teruskan iaitu pertamanya kawalan harga barang keperluan asas menerusi subsidi bersasar.
“Kita juga buat libat urus berterusan dengan pemain industri dan ketiga adalah kita tingkatkan penguatkuasaan dengan semua agensi terbabit bagi kurangkan ketirisan barangan subsidi,” ujarnya.
Tambahnya, Program Jualan Keluarga Malaysia meliputi 613 kawasan Dewan Undangan Negeri turut diperluaskan melalui tawaran barangan asas sehingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran setempat.
Selain itu, kementeriannya juga memberi advokasi terhadap gaya hidup pengguna dalam mempengaruhi permintaan dan harga barangan di pasaran.
Menurutnya, kesemua strategi itu berhasil apabila jualan Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia yang diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 19.9 peratus pada Mei lalu dengan jumlah RM129.8 billion.
Sehubungan itu, Alexander berkata, kementeriannya akan sentiasa menilai semula inisiatif dan program berimpak tinggi bagi membolehkan kuasa beli pengguna meningkat. – MalaysiaGazette