Seorang pelawak solo, Siti Nuramira dibawa oleh anggota polis untuk didakwa atas pertuduhan menghina Islam di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 13 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah memutuskan tidak mendakwa wanita yang dikatakan menghina agama Islam di mahkamah syariah di sini hari ini.

Tertuduh, Siti Nuramira Abdullah, 26, dibebaskan oleh JAWI malam tadi sejurus selepas menahannya ketika hadir menandatangani borang jamin dengan ditemani peguamnya, Ramesh Chandran di Kaunter Jaminan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan pembantu peguam, Hannann Syoffeeya  Zainal Syahrir, pihaknya menerima panggilan daripada JAWI malam semalam yang memaklumkan wanita itu akan dibebaskan serta merta tanpa  jaminan atau bon.

Pendakwaan terhadap Siti Nuramira akan diteruskan selepas JAWI bersedia, katanya kepada wakil media yang menunggu di perkarangan mahkamah menunggu kemungkinan Siti Nuramira didakwa hari ini.

Pasukan peguam mewakili wanita itu juga sudah bersedia menghadapi prosiding di Mahkamah Syariah namun mengalami kesukaran untuk mendapatkan seorang penjamin beragama Islam.

Minggu lepas, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat Islam semasa persembahannya pada 4 Jun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali membenarkan Nuramira diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan turut memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulas mengenai kes berkenaan.

Pada hari sama, penulis bebas dipercayai teman lelakinya, Alexander Navin Vijayachandran, 38, turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

JAWI tahan Nuramira selepas dibebaskan, didakwa di Mahkamah Syariah esok