Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Abdul Hakim Amir Osman membuat pertukaran dokumen selepas menandatangani memorandum persefahaman diantara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) ketika di Menara PERKESO, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 20 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Lebih 300 rakan strategik terdiri daripada agensi kerajaan, bukan kerajaan dan wakil rakyat telah menyertai gagasan Social Synergy anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat ini.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kerjasama strategik itu telah berjaya membantu individu yang memerlukan bantuan.

“Sejak 2019, sebanyak 12,940 kes telah disalurkan kepada agensi-agensi di bawah Social Synergy. Program yang dilancarkan pada 2019 ini telah mendapat pengiktirafan Best Practice Certificate with Special Mention daripada International Social Security Association (ISSA) pada Februari 2022,” katanya di Menara Perkeso di sini hari ini.

Terdahulu Mohammed Azman menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perkeso dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman.

Mohammed Azman berkata, dengan termeterainya kolaborasi itu, ia bakal membuka lembaran baharu kepada kedua-dua agensi dalam menyediakan perlindungan keselamatan sosial yang lebih holistik, efektif dan menyeluruh kepada rakyat Malaysia.

“Perkeso sentiasa membuka pintu untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta dalam membentuk jaringan keselamatan sosial yang komprehensif menerusi Program Social Synergy.

“Program ini merupakan satu inisiatif murni bagi penyelesaian kepada permasalahan sosioekonomi dan isu kebajikan rakyat Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya akan bekerjasama dalam beberapa bidang lain seperti perkongsian data, pengurusan dana wakalah, promosi kesedaran pembayaran zakat, perlindungan keselamatan sosial pekerjaan sendiri dan intervensi pasaran buruh.

“Kami juga berasa amat terharu apabila PPZ-MAIWP sudi menyalurkan dana wakalah untuk menampung bayaran baki sebanyak 20 peratus daripada caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri kepada usahawan asnaf di seluruh negara di bawah program SPS Padanan Caruman.

“Kami menyanjung tinggi usaha PPZ-MAIWP demi memastikan jaringan perlindungan sosial dapat diperluas kepada lebih ramai individu yang bekerja sendiri.

“Konsep Program Social Synergy yang berteraskan amalan kebaikan kepada setiap insan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa ini adalah bertepatan dan amat dituntut dalam agama Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette