Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan sesuatu dengan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Selangor.Foto HAZROL ZAINAL, 20 JULAI 2022.

PETALING JAYA – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan timbalannya, Rafizi Ramli bakal dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya susulan tugas pertamanya untuk mengepalai jentera parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Beliau berkata, bekas Ahli Parlimen Pandan itu akan dibantu empat Naib Presiden baharu, selain bekas Pengarah Pilihan Raya, Fuziah Salleh bagi memastikan kemenangan parti itu dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya.

“Kita yakin Insya-Allah dapat mengangkat martabat dan kedudukan Keadilan dan PH.

“Untuk itu, saya telah mencadangkan supaya saudara Rafizi selaku Timbalan Presiden mengetuai pasukan perang pilihan raya ini dengan beberapa naib presiden dan pengarah pilihan raya lalu, Fuziah Salleh bagi membantu beliau.

“Beliau akan diberikan wewenang (kuasa) untuk bergerak secepat mungkin bagi memperkuatkan jentera pilihan raya parti,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, malam ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan hampir dua jam bersama barisan kepimpinan baharu Keadilan bagi penggal 2022-2025.

Ahad lalu, pemilihan Keadilan bagi penggal 2022-2025 menyaksikan kira-kira 80 peratus muka baharu sebagai ahli MPP untuk tempoh tiga tahun.

Antara yang memenangi pemilihan parti ialah Rafizi sebagai Timbalan Presiden, empat Naib Presiden iaitu Datuk Seri Amirudin Shari, Chang Lih Kang, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Selain itu, kedua-dua sayap turut mendapat pimpinan baharu iaitu Fadhlina Sidek sebagai Ketua Wanita, manakala Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula diterajui oleh Adam Adli Abdul Halim.

Dalam pada itu, Anwar berkata, mesyuarat MPP malam ini membincangkan banyak perkara termasuk yang menyentuh soal dasar, hala tuju parti dan sebagainya.

“Kita bermula dengan menyusun barisan pimpinan baharu selain yang telah diberi mandat dalam pemilihan parti yang diumumkan dalam kongres.

“Tumpuan kita adalah pilihan raya, ialah satu kongres di mana seluruh pemusatan kegiatan dan jentera digerakkan untuk melaksanakan pilihan raya,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Pasukan formula dongsang dan pasukan pemfitnah tegar diketuai oleh Raja Fitnah @ Raja Formula hee..bila sebut fitnah & bohong jaa..ingat PKR…bila ingat PKR jaa ingat fitnah dan kaki bohong..haaa

  2. PKR….P arti K hianat R eformasi rakyat YANG SEKARANG SUDAH BASI MELOYAKAN
    Saya ulang…saya ulang ini ANWARFIKUN bercakap…kita cukup nombor2 EKOR majoriti

Comments are closed.