Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menafikan agensi tersebut melindungi Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bersikap dwistandard apabila tidak menyiasat dakwaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu telah mengeluarkan sejumlah besar wang.

Mohd Syahmeizy Sulong, 37, berkata beliau hanya ditugaskan untuk menyiasat kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan memberi tumpuan kepada pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tanpa kebenaran majlis pimpinan tertinggi Bersatu.

Saksi pendakwaan ke-25 itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Gobind Singh Deo pada perbicaraan kes Ahli Parlimen Muar tersebut yang berdepan empat pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.

Gobind: Adakah kamu tahu mengenai pengeluaran wang dalam jumlah yang besar oleh Tan Sri Muhyiddin yang ketika itu Presiden Bersatu?

Mohd Syahmeizy: Saya tidak pasti.

Gobind: Kamu bersikap dwistandard sebab tidak siasat Tan Sri Muhyiddin. Aduan orang lain kamu siasat.

Mohd Syahmeizy: Saya tidak setuju kerana siasatan saya hanya fokus kepada Syed Saddiq mengenai pengeluaran RM1 juta yang melanggar Perlembagaan Bersatu.

Penguasa Kanan SPRM itu turut menafikan tiada siasatan lain dilakukan kerana melindungi Muhyiddin dan tidak bersetuju bahawa agensi tersebut hanya digunakan sebagai alat untuk melindungi pihak tertentu.

Kepada soalan lain, saksi itu menafikan beliau tidak berani mengambil kenyataan daripada Muhyiddin, yang ketika itu Perdana Menteri kerana SPRM berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Gobind: Ada atau tidak kamu minta arahan daripada pihak atasan untuk menyiasat Tan Sri Muhyiddin berkenaan maklumat itu (pengeluaran wang daripada Bersatu tanpa kebenaran) dan saksi menjawab: Tidak.

Bagaimanapun, beliau kemudian menjelaskan bahawa pengeluaran itu adalah untuk kegunaan Bersatu bukannya peribadi dan ini menyebabkan Gobind meninggikan suara dengan tindakan saksi berkenaan yang dianggap tidak bercakap benar di mahkamah.

Gobind: Kamu katakan ia untuk kegunaan parti Bersatu, ini bermakna kamu ada siasat Tan Sri Muhyiddin.

Mohd Syahmeizy: Tidak, ia berdasarkan pendapat saya.

Pada awal prosiding, Pegawai Penyiasat Bahagian Forensik Teknologi SPRM, Nor Fadhilah Mohd Salleh berkata, beliau tidak mendengar nama Muhyiddin disebut dalam rakaman video Syed Saddiq yang dimainkan di mahkamah hari ini berkaitan pengeluaran wang itu.

Nor Fadhilah, 36, berkata beliau agak keliru dengan soalan Gobind pada prosiding semalam kerana rakaman itu hanya dimainkan sekejap dan saksi itu tidak mendengarnya secara keseluruhan.

Gobind: Dalam video ini, diberitahu Tan Sri Muhyiddin keluarkan wang besar tanpa kebenaran.

Nor Fadhilah: Saya tak dengar nama Tan Sri Muhyiddin seperti yang tuan sebut. Saya hanya dapat arahan untuk lihat minit-minit tertentu di dalam video tersebut.

Saksi pendakwaan ke-24 itu juga berkata, tiada keperluan untuk beliau membuat laporan polis terhadap Muhyiddin kerana tidak mendengar nama pemimpin berkenaan disebut dalam rakaman video.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Nor Fadhilah berkata, beliau merupakan pegawai forensik yang ditugaskan untuk mengeluarkan video rakaman sahaja dan menyerahkannya dalam bentuk DVD kepada pegawai penyiasat.

Perbicaraan bersambung esok. – Bernama