KESIHATAN mental dan kesejahteraan diri pekerja adalah topik utama yang mendasari produktiviti sesebuah organisasi. Kejayaan sesebuah jabatan dalam mencapai prestasi tahunan yang baik juga bergantung kepada tahap kesihatan dan kegembiraan staf dalam melaksanakan tugas mereka. Namun begitu, atmosfera pekerjaan seringkali diganggu gugat oleh pelbagai isu sehingga mempengaruhi etos pekerja di dalam organisasi. Senario ini lebih membimbangkan apabila Mantan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda menjelaskan, terdapat 20,000 penjawat awam yang bersara awal setahun disebabkan tekanan di tempat kerja.
Sedar atau tidak, seseorang pekerja menghabiskan 1/3 dari hidupnya melakukan pekerjaan mereka. Pekerjaan dalam Islam bukanlah semata-mata untuk mendapatkan rezeki yang halal sahaja, tetapi sasaran Islam meletakkan pekerjaan sebagai satu bentuk ibadah bagi melengkapi perintah Allah swt dalam menjalani kehidupan dengan penuh bermakna. Bekerja memerlukan seseorang bukan sekadar mengerah tenaga, namun jiwa dan mental juga perlu dicanai sekali. Justeru, seringkali istilah keseimbangan kerjaya-kehidupan (work-life balance), buli dan politik ditempat kerja berkumandang dalam memastikan kesejahteraan pekerja berada pada aras yang baik bagi menghasilkan produktiviti kerja yang optimum.
Suka mencari salah atau ‘fault-finder’ adalah satu bentuk sikap yang negatif dan sering dikaitkan dengan tret individu ‘toksik’ di tempat kerja. Bahkan individu ini dikaitkan dengan sikap suka mengkritik orang lain, suka menyindir, pantas menyalahkan orang lain dan suka berfikir negatif. Meskipun ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja di tempat kerja, tetapi golongan pekerja yang ‘masih hijau’ di organisasi acap kali mengharungi hal sedemikian. Sikap mencari salah ini bukan sahaja berakhir dengan menuding jari menyalahkan perbuatan dan hasil kerja orang lain, malah boleh terus berlaku hingga melibatkan penolakan markah prestasi tahunan tanpa sebab yang munasabah rentetan tidak ‘sebulu’ atau berbeza pandangan sesama rakan sejawat.
Tambahan itu, sifat dengki, dendam, manipulasi, berpuak, mempengaruhi, memburukkan dan menyisihkan individu lain dalam kalangan rakan sejawat juga mewujudkan persekitaran kerja yang toksik dan memudaratkan individu. Suasana kerja sebegini boleh berlaku disebabkan jurang perbezaan usia, ‘geng sekepala’, latar, status dan gender. Keadaan ini disifatkan sebagai perkara yang berbahaya kerana ia boleh mengganggu keselamatan dan kesihatan pekerja lain di tempat kerja. Di samping itu, pola berulangan yang membabitkan situasi sebegini akan mewujudkan satu budaya baru di tempat kerja. Di Malaysia, masalah buli di tempat kerja masih di anggap enteng walaupun ia memberi impak besar kepada modal insan sesebuah organisasi.
Senario dalam negara menyaksikan kes buli di tempat kerja tidak memiliki saluran khusus berkaitan pelaporan menjadikan rekod awam dan statistik kes sukar diperoleh. Sikap suka mencari salah orang lain merupakan satu sikap negatif yang perlu dielak dalam memastikan sesebuah organisasi kekal berfungsi dengan baik. Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) Datuk Dr Andrew Mohanraj dalam kenyataannya pada tahun 2019 menyatakan bahawa kebanyakan pekerja menghadapi masalah emosi dan tekanan di tempat kerja adalah disebabkan oleh tingkah laku negatif dalam persekitaran kerja. I
Ibarat kata perumpamaan lihatlah dari mata lebah, jangan melihat dari mata lalat amat sesuai diaplikasi dalam situasisebegini. Ini kerana, lebah melihat sesuatu yang indah dan wangi seperti bunga-bungaan dan menghasilkan madu darinya, berbanding lalat mencari sampah yang busuk untuk dihurung. Begitu juga manusia disarankan mencari kebaikan dalam diri rakan sekerja berbanding mencari, mencanang dan mengungkit kesalahan rakan sekerja mereka. Hal ini boleh memburukkan lagi hubungan pada masa yang sama menjejaskan perkembangan institusi pekerjaan.
Dalam melangkah kepada masa hadapan yang lebih cemerlang, setiap organisasi seharusnya bijak mengurus perjalanan organisasi, mempunyai pekerja beretika, amanah serta berintegriti. Perilaku suka mencari kesalahan individu lain melibatkan salah satu elemen integriti yang merangkumi sifat-sifat menyeluruh individu atau sesebuah organisasi berdasarkan nilai-nilai murni sejagat. Pemantapan etika dan integriti dalam sesebuah organisasi merupakan antara cabaran terbesar yang perlu ditangani dalam memacu kemajuan negara. Hal ini amatlah bertepatan dengan Prinsip ke-13 di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang telah dilancarkan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Prinsip Integriti dan Tadbir Urus Yang Baik di mana negara merancang untuk melaksanakan tadbir urus yang baik dengan nilai integriti yang tinggi.
Isu integriti ini bukan hanya terfokus kepada isu-isu rasuah sahaja, malah ia merupakan satu konsep yang lebih besar. Ia meliputi integriti dalam ketepatan waktu, integriti dalam menyampaikan maklumat, integriti dalam memberi perkhidmatan terbaik, serta integriti dalam berhubung dengan ketua jabatan, rakan sekerja dan juga kakitangan sokongan. Tuntasnya, persekitaran dan rakan sejawat ditempat kerja memainkan peranan yang sangat signifikan dalam mempengaruhi emosi dan motivasi seseorang. Hal ini kerana, di tempat kerja individu akan dikelilingi oleh kelompok individu lain yang terdiri daripada pebagai kerenah, sama ada ia boleh menjadi baik ataupun toksik.
Tokoh dalam pengkajian gelagat organisasi juga menyatakan bahawa keberhasilan sesebuah organisasi seperti prestasi, pencapaian dan kesejahteraan staf mereka amat berkait dengan sistem budaya kerja yang saling menyokong dan sihat.
Pihak pengurusan organisasi juga perlu mengambil inisiatif dalam mewujudkan sistem latihan komunikasi berkesan kepada setiap pekerja secara berterusan serta polisi pengurusan yang bersistematik untuk mencegah gejala buli. Perhubungan yang baik dan harmoni antara pekerja tanpa mengira status senior mahupun junior haruslah ditingkatkan dan dititikberatkan bagi menjamin iklim kerja yang baik.
Oleh: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz,
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia