Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Setelah lama menyepi Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) kembali bersuara selepas hari ketiga sidang Dewan Rakyat bagi penggal kelima Parlimen ke 14, hari ini.

Tajuddin yang mencelah ketika Datuk Seri Azalina Othman Said (BN- Pengerang) membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Anti Gangguan Seksual 2021 membuat kenyataan yang mengaitkan dirinya sebagai seksis.

“Kamu (ahli Parlimen pembangkang) cuba untuk memperlihatkan kami (ahli Parlimen kerajaan) mempunyai imej yang buruk. Macam kita tidak ada maruah diri,” jeritnya.

Tajuddin merujuk kenyataan Teo Nie Ching (PH-Pulai) yang mengaitkan dirinya bersama-sama Ahli Parlimen Baling (Datuk Seri Azeez Abdul Rahim) dan Ahli Parlimen Kinabatangan (Datuk Seri Bung Mokhtar Radin) sebagai seksis dan sering membuat kenyataan gangguan seksual terhadap ahli Parlimen wanita.

Tidak selesa dengan ‘pertikaman lidah’ itu, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon mengarahkan Tajuddin bertenang dan mengembalikan pentas dewan kepada Azalina.

RSN Rayer (PH-Jelutong) juga bangun mempertikaikan tindakan Rashid yang masih bertoleransi dengan Tajuddin berbanding tindakan menghalau Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) pada Isnin lalu.

“Timbalan Speaker kemarin (Ahli Parlimen) Kota Belud dihalau, perangai macam ini (Tajuddin) mengapa tidak halau keluar?” soalnya.

Tajuddin kemudiannya menyelar Rayer dan mempersoalkan kenapa wakil rakyat DAP mencabar Rashid.

“Kenapa kamu cabar Speaker? Kenapa provok Speaker?,” teriak Tajuddin.

Mempertahankan penmdirian beliau, Tajuddin berkata, tuduhan kepada dirinya dan dua lagi ahli Parlimen seksis adalah tidak benar.

“Mereka tidak kenal siapa kami, bagaimana kita menjaga maruah wanita terutamanya Wanita UMNO. Kamu boleh tanya mereka, yang masalah ini adalah wanita DAP. Perangai tidak senonoh mulut cabul,” katanya lagi.

Drama pertikaman lidah selama 30 minit ini bagaimanapun dileraikan oleh Rashid.

“Saya arahkan Pasir Salak (Tajuddin) agar tidak mengulangi dan saya minta Kota Samarahan untuk teruskan perbahasan beliau,” katanya setelah didesak oleh ahli Parlimen pembangkang terutamanya Rayer.

Sesi bahas RUU Anti Gangguan Seksual 2021 bersambung dengan sesi perbahasan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan). – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ada tiga ahli Parlimen selalu buat kenyataan seksis – Nie Ching