Sembakavali dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan membunuh anak perempuannya berusia 11 tahun di Batu Pahat.

BATU PAHAT – Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak perempuannya sendiri berusia 11 tahun pada Khamis lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Sembakavali, 34, didakwa berbuat demikian di rumah beralamat 21 Jalan Tropika 14, Taman Bukit Tropika, Yong Peng sehingga menyebabkan kematian N. Maha Letchumi pada 14 Julai lalu.

Tertuduh dilihat mengangguk tanda faham selepas pertuduhan  dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 September depan untuk mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Izzati Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Terdahulu, media melapotkan seorang kanak-kanak perempuan ditemui maut dengan kesan jerut di leher dan luka di dahi di rumahnya di Yong Peng. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kanak-kanak 11 tahun mati dipercayai dibunuh ibu kandung