Kamarul (kanan) meninjau lokasi kejadian bunuh kanak-kanak 11 tahun dipercayai dibunuh ibunya di Yong Peng, Johor.

BATU PAHAT – Seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun ditemui meninggal dunia di rumahnya di Taman Bukit Tropika, Yong Peng dipercayai dibunuh semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan luka di bahagian dahi dan kesan jerut di bahagian leher mangsa dan siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 4.55 petang.

“Siasatan awal pihak kami mendapati tiada sebarang kesan kecederaan lain pada tubuh atau anggota si mangsa.

“Keterangan saksi-saksi juga telah kami ambil untuk mendapatkan bukti kejadian sebenar,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian pada hari ini.

Tambah beliau, mayat kanak-kanak itu telah dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Sementara itu, menurut Kamarul, ibu kandung mangsa yang berusia 34 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut memandangkan terdapat kenyataan mengelirukan daripada wanita itu.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat dan dibenarkan untuk ditahan reman selama tujuh hari sehingga 21 Julai 2022,” ujarnya.

Menurut Kamarul, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette