Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), menahan penunggang motosikal warga asing yang tidak mempunyai lesen motosikal ketika JPJ melaksanakan operasi pemandu warga asing di Jalan Pandan Indah Utama, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 JULAI 2022.

AMPANG – Seorang pemandu lori warga asing yang memecut kenderaannya ketika ditahan berjaya dihalang penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Pandan Indah hari ini.

Cubaan lelaki warga Indonesia berusia sekitar 30-an itu gagal apabila lori yang dipandunya berjaya dihalang kenderaan anggota penguat kuasa JPJ yang berada di lokasi operasi tersebut.

Warga asing yang ditahan oleh anggota Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu operasi bersepadu ketika JPJ melaksanakan operasi pemandu warga asing di Jalan Pandan Indah Utama, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 JULAI 2022.

Kemudiannya individu itu antara 36 orang lelaki warga asing yang diberkas dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) melibatkan JPJ dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur.

Kekuatan operasi terdiri daripada 54 pegawai bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari tadi.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Kuala Lumpur,  Raja Nur Syuhaidah Raja Azmi berkata, operasi itu dilakukan selepas hasil risikan mendapati terdapat pemandu warga asing di kawasan berkenaan dan mereka tidak mempunyai lesen memandu.

Raja Nur Syuhaidah Azmi. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 JULAI 2022.

“Dalam operasi ini, sebanyak 158 kenderaan telah diperiksa dan sebanyak 79 notis saman dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh mereka semasa pemeriksaan,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Op PEWA  hari ini.

Tambah Raja Nur Syuhaidah, dalam operasi sama, pihaknya turut menyita sebanyak 23 buah kenderaan iaitu membabitkan 18 motosikal, empat lori dan sebuah kereta.

Pihak JIM juga telah memeriksa seramai 58 warga asing dengan 36 daripadanya berusia lingkungan 21 hingga 60 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), menahan penunggang motosikal warga asing yang tidak mempunyai lesen motosikal ketika JPJ melaksanakan operasi pemandu warga asing di Jalan Pandan Indah Utama, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 JULAI 2022.

Pemeriksaan lanjut mendapati mereka melakukan kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan peribadi (tujuh kes); dokumen tamat tempoh ( lima kes); salah guna pas ( lapan kes) dan 16 orang lagi perupakan individu berstatus pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

Tegas beliau, pemeriksaan lanjut oleh penguat kuasa JPJ juga mendapati kebanyakan kenderaan yang dipandu oleh warga asing ini adalah milik warga tempatan.

Malah, katanya, ada juga kenderaan berkenaan sudah diubah suai menjadi motosikal roda tiga bagi kegunaan berniaga makanan aiskrim, roti serta membawa barang lusuh.

“Saya ingin menasihatkan dan meminta kerjasama kepada semua pemilik kenderaan agar tidak membenarkan kenderaan persendirian anda digunakan oleh warga asing,” katanya.

Jika kesalahan itu dikesan JPJ, pemilik kenderaan juga boleh dikenakan tindakan dan kenderaan mereka boleh disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak mengubahsuai bentuk dan peralatan kenderaan seperti memasang side car pada kenderaan yang merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 6(1) akta sama.

“Bagi kenderaan yang tidak mempunyai perlindungan insurans, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 90(1) akta sama,” tegasnya. – MalaysiaGazette