KUALA LUMPUR – UMNO perlu patuh dengan Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang ditandatangani antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dengan PH.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan adalah tepat kerana parti itu tidak memerlukan sebarang MoU baharu dengan pembangkang.
“UMNO tidak akan mengadakan MoU, saya fikir UMNO kena patuh sebab MoU yang sedia ada itu bukan melibatkan parti dengan parti, tapi melibatkan PH dengan Perdana Menteri untuk mengekalkan kestabilan politik dan maka pembangkang bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan melakukan transformasi Parlimen dan juga untuk memastikan adanya kestabilan.
“Jadi signal itu kepada MoU yang sedia ada itu ialah antara PH dan Perdana Menteri, jadi apa yang diumumkan oleh Ahmad Maslan tidak terkait dengan yang itu, mungkin.
“Tapi ada keputusan peringkat UMNO itu saya fikir elok dan satu keputusan di peringkat UMNO yang tidak akan mengadakan MoU maka UMNO memang tidak ada MoU,” katanya yang merupakan bekas Setiausaha Agung UMNO pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Annuar berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan Ahmad bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan MoU antara kerajaan dan PH yang berakhir 31 Julai ini tidak akan diteruskan.
Malah Ahmad berkata, UMNO menetapkan akta anti-lompat parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan di Parlimen.
Mengulas lanjut, Annuar (BN-Keterah) berkata, sememangnya MoU antara PH dengan kerajaan tidak mempunyai tarikh luput dan ia termaktub sehingga pembubaran Parlimen dibuat selepas 31 Julai depan.
“Dituliskan di situ di bawah perkara 3.1 dalam MoU bahawa MoU itu berkuatkuasa daripada tarikh tandatangan sehinggalah Parlimen dibubarkan, maka tak timbul nak buat MOU baharu, MOU itu masih lagi ada dan terpulang kepada pihak yang menandatangani itu kalau nak menyemak semula tetapi setakat MoU sedia ada masih kekal berkuatkuasa.
“Cuma kekeliruan timbul apabila ada klausa MoU yang katakan kerajaan tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai.
“Jadi tidak ada usul pembubaran Parlimen sehingga akhir bulan ini, kalau selepas bulan Julai, maka kena tandatangan lain lain,” jelasnya lagi.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa pihaknya akan mengusulkan beberapa lagi syarat utama yang akan diketengahkan kepada kerajaan walaupun MoU Transformasi Dan Kestabilan Politik Antara Kerajaan Persekutuan telah dimeterai.
Antaranya reformasi dalam isu pengurusan kerajaan, rasuah dan hal-hal monopoli.
Pada sidang media sama, Annuar mempersoal kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang menyebut namanya bagi mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Beliau berkata, siapa patut dilantik ke jawatan itu tidak perlu dibangkitkan, sebaliknya masalah rakyat yang perlu difokuskan buat masa ini.
Media hari ini melaporkan Zahidi secara sinis mencadangkan agar jawatan TPM diisi oleh Annuar atau Datuk Seri Takiyuddin Hassan berikutan desakan pihak tertentu terhadap Ismail Sabri mengenainya.
Jelasnya, dua orang itu antara yang menjadi saksi dan mengetahui mengenai wujudnya MoU di antara Ismail Sabri dan juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin. – MalaysiaGazette
Kata MOU PM dgn Pembangkang..bukan MOU antara Parti? Tapi yg duk sebut PH tu dah kenapa? PH tu bukan parti kaaa? Dan yg kedua…PM tu jd PM bukan sebab parti kaa…ni bukan sistem presiden mcm kat Indonesia atau USA…lain lah kalau lantik Tengku Zafrul sbg PM kaa…tak de parti…merepek laa ko Nuar
Ohh satu lagi…kenapa plak UMNO kena patuh dgn MOU PM dgn pembangkang? Kata ni bukan MOU bukan antara parti..tak de kena mengena dgn UMNO…so kenapa plak UMNO sebagai sebuah parti kena patuh? tu terpulang kpd UMNO melalui AGM/EGM dan MKT laaa..