Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa sengaja melengah-lengah pendakwaan ke atas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana bertujuan memberi tekanan kepada Ahli Parlimen Muar itu menyokong pemimpin tertentu.

Peguam Gobind Singh berkata, keizinan untuk mendakwa bekas Menteri Kabinet itu diberikan pada 4 Januari tahun lalu namun ia hanya dibuat enam bulan kemudian iaitu 22 Julai tahun sama.

Beliau mendakwa pegawai yang sering menghubungi Syed Saddiq ialah Penguasa Kanan SPRM, Mohd. Ihsan Sapuan.

“Beliau hubungi Syed Saddiq lebih kurang empat kali, supaya ahli Parlimen itu bersedia ke mahkamah untuk dituduh tapi akhirnya tiada pertuduhan sehingga Julai tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Datuk Azhar Abdul Hamid pada kes perbicaraan Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan harta serta pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Bagaimanapun, Penguasa Kanan SPRM, Mohd. Syahmeizy Sulong, 37, menafikan dakwaan tersebut.

Saksi pendakwaan ke-25 itu berkata, pertuduhan tidak dapat dilakukan pada 4 Januari 2021 kerana hanya satu daripada lima kertas siasatan disiapkan.

Menurutnya, pendakwaan hanya boleh dilaksanakan pada 22 Julai 2021 apabila kesemua kertas siasatan sudah dilengkapkan.

Beliau menafikan pernah menghubungi Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Armada Bersatu itu agar bersedia ke mahkamah untuk dituduh.

“Untuk siasatan terhadap Syed Saddiq, pihak SPRM telah membuka lima kertas siasatan yang berbeza aduan dan maklumat.

“Oleh itu, pertuduhan terhadapnya dibuat terlalu lama kerana saya memerlukan keterangan saksi bagi kertas siasatan lain kerana ketika itu hanya satu kertas siasatan yang siap ke atas YB Syed Saddiq,” kata saksi itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan turut dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Perbicaraan bersambung esok. – MalaysiaGazette