Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof meminta kerajaan menyatakan harga sebenar pembelian hartanah di London oleh Tabung Haji (TH).

Ini kerana, kata beliau, sebuah media melaporkan TH membeli bangunan Great Minster itu pada nilai 247.5 juta pound sterling iaitu kira-kira RM1.32 bilion.

Menurutnya, transaksi tersebut tidak menyatakan harga belian sebenar melainkan hanya memaklumkan nilai hartanah yang dibeli melalui vendornya Sinarmas.

“Menteri perlu telus dalam menyatakan kos sebenar keseluruhan pembelian termasuk yuran komision yang dibayar kepada broker yang dilantik.

“Masalah sembunyi harga belian sebenar menimbulkan pelbagai tanggapan negatif rakyat khususnya umat Islam terhadap ketelusan TH dan kepentingan pihak tertentu mengaut yuran komision tidak masuk akal tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan TH mengukuhkan lagi pelaburan dalam pasaran hartanah luar negara dengan memuktamadkan rundingan pembelian bangunan yang menempatkan Kementerian Pengangkutan United Kingdom (UK) di kota raya London 12 Julai lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin dilaporkan berkata, pembelian bangunan berstatus pegangan bebas itu adalah tambahan kepada senarai pelaburan TH yang mempunyai portfolio berkaitan di UK sejak 2012.

Katanya, pemilikan hartanah itu memberi pulangan jangka panjang yang baik kepada TH memandangkan kontrak sewaan yang panjang, manakala kos penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh penyewa, selain kenaikan kadar sewaan setiap tahun dan memiliki nilai pasaran yang stabil.

Menurut Mujahid, dalam keadaan kejatuhan nilai ringgit akhir-akhir ini, pembelian tersebut boleh membawa risiko kepada pulangan nilai jika berlaku transaksi untuk dijual kemudian hari.

Selain itu, kata beliau, melonggokkan pelaburan RM1.32 bilion kepada hanya satu hartanah turut mengundang risiko kepada keutuhan aset TH.

“Kenyataan saya ini datang atas kebimbangan apakah pengurusan TH kembali ke “perangai lama” tanpa pengurusan risiko aset yang berkesan dan berhemah sehingga potensi menjejaskan lapan juta pendeposit dan menjejaskan fasa kelestarian TH demi kepentingan umat Islam.

“Adalah lebih baik ditumpukan kepada perubahan struktural regim kos subsidi haji bagi menangani kenaikan kos haji daripada menanganinya dengan pembelian aset yang berisiko tinggi di luar negara.

“Pengalaman TH sebelum 2018 yang lemah dalam pengurusan risiko aset serta tatakelola kewangan yang tidak telus telah membawa kepada jurang negatif antara aset dan liabilti sebanyak RM4.1bilion yang dicatatkan dalam laporan audit 2017,” katanya.

Kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu, sejak 2015, pemberian hibah atau dividen melanggar seksyen 22(3)(a) yang mensyaratkan aset tidak boleh kurang daripada tanggungan.

Jelas Mujahid, tujuan penstrukturan semula pada tahun 2018 adalah untuk TH mematuhi perundangan ditetapkan bagi tujuan pengeluaran hibah yang menepati undang-undang tubuh TH.

“Pihak kami dengan pengurusan yang telus telah berjaya mengimbangi aset dan tanggungan sehingga TH kini kembali ke landasannya yang betul dan mengikut undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette