Azmil Zainal sidang media selepas Op Khas Rentas Sempadan di Plaza Tol Skudai di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 1,294 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan menerusi Op Khas Rentas Sempadan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang diadakan di daerah di Johor dan sepanjang Lebuhraya Utara Selatan bermula Selasa lepas.

Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata,  968 daripada 1,070 kenderaan yang diperiksa dalam operasi hari ini memfokuskan kenderaan perdagangan telah dikenakan tindakan.

“Sebanyak 384 daripadanya membabitkan pemandu kenderaan perdagangan melakukan kesalahan seperti membawa lebih muatan atau muatan berbahaya, kesalahan teknikal dan memandu kenderaan berat di lorong kanan secara berterusan,” katanya dalam sidang media selepas Op Khas Rentas Sempadan di Plaza Tol Skudai di sini hari ini.

Kesalahan membawa lebih muatan dan muatan berbahaya dikenal pasti paling tinggi dilakukan pemandu kenderaan, kata Azmil.

Operasi itu turut memberi tumpuan kepada pemandu warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu sah serta menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) untuk tujuan perniagaan.

Katanya  37 kenderaan dipandu warga asing melibatkan 19 warga Myanmar, Pakistan (lapan), Bangladesh (enam) dan Nepal (empat) telah pon disita.- MalaysiaGazette