Bas ekspres serta bas persiaran antara dikesan memandu secara berterusan di lorong kanan dalam Ops Khas Lorong Kanan yang dilakukan JPJ Pulau Pinang awal pagi tadi.

SEBERANG PERAI – Bukan sahaja memandu di lorong kanan secara berterusan malah ada antara pemandu bas ekspres serta bas persiaran berlumba sesama sendiri.

Itu antara kesalahan dikenal pasti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam Ops Khas Lorong Kanan di Lebuh Raya Utara-Selatan kedua-dua arah bermula dari Plaza Tol Juru hingga Plaza Tol Sungai Dua.

Operasi bermula jam 10 malam hingga 4 pagi tadi turut mendapati bas kilang, van persiaran, lori perdagangan serta treler kontena melakukan kesalahan sama.

Adenan.

Pengarahnya, Adenan Md Isa berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati kebanyakan pemandu kenderaan perkhidmatan awam serta kenderaan berat memandu secara melulu pada waktu malam.

Ia sekali gus mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Jelasnya, bukan setakat itu, pemandu bas ekspres, bas persiaran serta bas kilang juga dilihat seolah-olah tidak menghiraukan keselamatan penumpang yang dibawa mereka.

“Kita mendapati bahawa terdapat beberapa buah bas perkhidmatan awam ini seperti bas ekspres, bas persiaran yang berlumba-lumba menggunakan lorong kanan dengan tujuan untuk cepat sampai ke destinasi.

Pemandu lori kontena turut dikesan melakukan kesalahan sama.

“Kebanyakan pemandu yang ditahan memberi alasan mahu mengejar trip dan ini secara tidak langsung menunjukkan sikap segelintir pemandu bas ekspres ini lebih mementing keuntungan berbanding keselamatan penumpang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambah Adenan, sebanyak 35 saman dikeluarkan dalam operasi itu membabitkan 18 terhadap pemandu bas manakala bakinya terhadap kenderaan barangan dan kontena.

“Kita akan pergiatkan operasi sebegini bagi memastikan pemandu kenderaan berat serta perdagangan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Pemandu bas ekspres dikenakan saman susulan memandu di lorong kanan secara berterusan.

“Ia juga bertujuan mendisiplinkan pemandu kenderaan perdagangan untuk mematuhi Kaedah 4A lalulintas jalan 1959 dan undang-undang yang berkuatkuasa,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast