Massila Kamalrudin (kanan) dan  Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Bio Proses, Prof. Dr. Wolfgang Strache (kiri) menandatangani perjanjian sambil disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Presiden Pengajaran dan Pembelajaran serta Hubungan Antarabangsa HsH, Prof. Dr. Dörte Heüveldop , baru- baru ini.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Hochschule Hannover (HsH) University of Applied Sciences and Arts di Kampus Linden, Hannover, Jerman, baru-baru ini.

Kerjasama antara dua buah universiti ini juga memperkukuhkan hubungan strategik antara Malaysia dan Jerman dalam konteks Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras dunia.

Majlis pemetraian MoA tersebut UTeM diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin manakala HsH diwakili oleh Naib Presiden Pengajaran dan Pembelajaran serta Hubungan Antarabangsanya, Prof. Dr. Dörte Heüveldop dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Bio Proses. Prof. Dr. Wolgang Strache disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.

Massila berkata, kerjasama strategik ini mampu  memperkasa hubungan dua hala dalam semua bidang terutamanya dalam usaha berterusan kerajaan untuk menawarkan pengajian tinggi TVET melalui program dua ijazah antara UTeM dan HsH.

Jelasnya, perjanjian ini turut dilihat sebagai peluang buat UTeM meneroka kerjasama yang lebih erat dalam memperkasa program akademik terutamanya di peringkat sarjana muda antara kedua-dua universiti termasuklah kerjasama penyelidikan dan
pembangunan yang melibatkan pasca siswazah dan penyelidik dari kedua-dua institusi.

Tambahnya lagi, MoA itu juga akan membuka lebih banyak peluang untuk Malaysia dalam meneroka potensi bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pendidikan di Asia Tenggara bagi pasaran Eropah terutamanya keterlihatan institusi pengajian tinggi Malaysia khususnya dalam program TVET.

Sementara itu, Dorte Heuveldop yakin kerjasama antara UTeM dan HsH amat berjaya yang mana kedua-dua institusi sentiasa memberi penekanan yang kuat terhadap pengajaran berorientasikan amalan dan penyelidikan
gunaan.

“Untuk itu HsH sentiasa berkerjasama rapat dengan industri dan institusi lagi dalam menyediakan pelajar untuk keperluan masa hadapan,” ujarnya lagi ketika mengulas mengenai hubungan strategik ini.

HsH yang ditubuhkan pada 1971 merupakan salah sebuah universiti Sains Gunaan terbesar dan antara universiti awam terkemuka di Jerman yang terkenal melalui reputasi dan kecemerlangannya dalam bidang sains gunaan, kejuruteraan elektrik,
kejuruteraan mekanikal dan bio-proses, media, informasi dan rekabentuk serta sains komputer dan perniagaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast