Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Dua remaja lelaki warga Rohingya yang dilaporkan hilang ketika berenang bersama lapan lagi kawan mereka di Sungai Danga berhampiran Kampung Bakar Batu, di sini, semalam ditemukan lemas awal pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Riduan Akhyar berkata, mangsa dikenali sebagai Mahmood, 11, dan Nojumullah Bibir Ahmad, 14.

Beliau berkata, pihaknya hanya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.24 pagi tadi sebelum menggerakkan sebuah jentera FRT dan sebuah jentera EMRS, selain sembilan anggota termasuk daripada Pasukan Khas Mencari dan Menyelamat Di Air (PPDA) dengan kekuatan sebuah bot fiber dan bot aluminum  bagi operasi menyelamat.

“Mangsa pertama ditemukan ketika pihak bomba membuat pencarian di kawasan permukaan air sejauh 50 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas, manakala mangsa kedua ditemukan ketika anggota penyelamat melakukan penyelaman dalam radius 100 meter,” kata dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Riduan berkata kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada pukul 11.40 pagi. – Bernama