KUALA LUMPUR – Empat wanita melalui detik cemas apabila tersesat ketika melakukan aktiviti kembara hutan di Bukit Saga, Taman Saga, di Ampang, dekat sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kesemua mangsa bernasib baik kerana dapat dihubungi melalui telefon bagi memudahkan pihaknya menggerakkan misi menyelamatkan.
Menurutnya, bilik gerakan operasi bomba negeri menerima panggilan kecemasan mengenai empat wanita sesat dalam hutan pada jam 5.31 petang.
“Bertindak atas panggilan itu, sebuah jentera bersama Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba Pandan dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan penyelamat tiba di lokasi pada jam 5.43 petang dan operasi menyelamat mangsa dijalankan.
“Semua mangsa dapat dihubungi melalui talian telefon dan dimaklumkan mereka selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan di badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, kedudukan wanita itu dianggarkan pada jarak dua kilometer (km) dari pusat kawalan bencana (PKB) yang dibuka di kawasan bukit tersebut.
Ujarnya, kesemua mangsa yang berusia lingkungan 28 ke 32 tahun ditemui anggota bomba pada jam 8.04 malam.
“Mereka sedang dibawa keluar dari hutan itu oleh anggota penyelamat dan pihak bomba bersama empat anggota polis sedang bergerak keluar dari lokasi mangsa ditemui menuju ke PKB bersama kesemua empat mangsa itu,” ujarnya.-MalaysiaGazette