Keratan akhbar yang melaporkan Dr. Mahathir nasihat henti mambuat bayaran kepada waris Sultan Sulu.

KUALA LUMPUR – Keratan sebuah akhbar menjadi bukti bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad memberikan pandangan bahawa Malaysia perlu berhenti membayar kepada waris Sultan Sulu.

Laporan bertajuk ‘Henti bayar kerana langgar syarat – Dr. Mahathir’ pada 13 Mac 2013 itu dikongsi oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di media sosialnya hari ini.

Najib berkongsi keratan berita berkenaan selepas Dr. Mahathir menyalahkannya berkaitan tuntutan waris Sulu kepada Malaysia bernilai lebih RM66 bilion selepas pembayaran kepada kumpulan itu dihentikan pada 2013.

“Kelmarin Tun M salahkan saya sebab kerajaan BN dahulu henti bayar kepada wakil Sulu setelah tragedi pencerobohan Sulu pada tahun 2013.

“Kini saya muat naik artikel surat khabar tahun 2013 yang disimpan Perdana Leadership Foundation (dijaga Tun M) untuk menunjukkan siapa yang suruh kita henti bayar. Kamu kenal siapa dia tak, Tun,

“Tak ada pula dia salahkan surat bodoh Tommy Thomas. Adakah ini bermaksud ianya Tun M yang luluskan surat Tommy ataupun dia setuju dengan surat berkenaan?” tanya Najib.

Dalam keratan berita itu, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, bayaran penyerahan wilayah tahunan sebanyak RM5,300 kepada individu yang mendakwa sebagai keturunan Kesultanan Sulu perlu dihentikan kerana mereka telah melanggar syarat.

Ini berikutan waris keturunan Kesultanan Sulu telah menceroboh Lahad Datu, Sabah hingga menyebabkan kematian anggota keselamatan negara.

“Syaratnya ialah tidak kacau kita tetapi sekarang mereka kacau. Mereka bertindak ganas, tak cukup bunuh orang, dia cincang dan pecah kepada. Apa jenis manusia ini yang kata Islam,” kata Dr. Mahathir dalam laporan tersebut.

Dr. Mahathir dalam temubual dengan sebuah media baru-baru ini berkata, tuntutan waris kesultanan Sulu berpunca daripada keputusan Datuk Seri Najib Razak yang mungkir janji untuk membayar RM5,300 setahun kepada pihak berkenaan sejak 2013.

Menurutnya, Najib yang menjadi Perdana Menteri ketika itu mengarahkan kerajaan menghentikan bayaran wang serahan kepada waris kesultanan Sulu kerana mendakwa menjadi dalang pencerobohan Lahad Datu.

Dr Mahathir yang ditemu bual dalam program Eksklusif Sinar Harian berkata, kegagalan mengemukakan bukti kukuh mengenai pencerobohan itu menjadi titik permulaan waris kesultanan Sulu mengambil tindakan undang-undang di mahkamah antarabangsa terhadap kerajaan kerana mungkir janji menghentikan bayaran RM5,300 setahun.

Dr Mahathir menegaskan, isu tuntutan ini harus diteliti dan dijadikan iktibar bagi memastikan setiap keputusan dibuat kerajaan berhubung isu sensitif melibatkan sebarang perjanjian tidak akan berulang lagi selepas ini.-MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Sah lah sdh bahawa atok dh nyanyok, dh releven lg elok diam jer lah lg bnyk bukak mulut lg naik menyampah rakyat nengok

Comments are closed.