PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang wanita warga Indonesia cedera dalam kejadian rompak dan bakar di sebuah kedai runcit di Felda Tersang Satu, Raub awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Raub, Supt Kama Azural Mohamed berkata, wanita berusia 40 tahun yang juga pembantu kedai itu cedera di muka dan kepala, dipercayai akibat diserang seorang lelaki bertopeng yang bersenjatakan sebatang besi.

“Mangsa mendakwa melihat suspek memasuki kedai dari bumbung antara 1 hingga 2 pagi sebelum menyerang dan mengikat tangan mangsa dengan menggunakan pita pelekat.

“Suspek didakwa melarikan wang tunai berjumlah RM1,700 dari kaunter kedai dan dua utas gelang emas milik mangsa, selain dikatakan membakar kedai sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kama Azural berkata, mangsa difahamkan berjaya melepaskan diri tidak lama kemudian dan meminta pertolongan daripada jiran berhampiran.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu merompak yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan serta Seksyen 435 kanun sama iaitu melakukan khianat dengan api yang boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan denda.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kebakaran dipercayai bermula 2.30 pagi menyebabkan kedai runcit itu musnah sepenuhnya.

Dua buah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub serta Sungai Koyan dengan kekuatan 15 anggota berjaya mengawal kebakaran kira-kira 35 minit kemudian. – Bernama