KUANTAN – Lebih 25 pemilik pangsapuri di Bukit Gambang Resort City (BGRC), di sini, berhimpun menggesa Sentoria Harta Sdn Berhad mencari penyelesaian kepada tuntutan bayaran sewa yang tertangguh sejak 2018.
Salah seorang pemilik, Zainuddin Mohd Nor, 48, berkata, beliau menganggarkan kira-kira 500 pemilik pangsapuri dengan masing-masing perlu menjelaskan antara RM20,000 hingga RM30,000 bayaran sewa untuk tempoh tiga tahun menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM15 juta.
“Masalah timbul apabila kami tidak dapat menghubungi pemaju untuk kita berbincang dan kita nak tahu perkembangan atau masalah yang dihadapi mereka,” katanya kepada pemberita di pintu masuk BGRC di sini hari ini.
Jelas Zainuddin, beliau faham kos yang perlu ditanggung pemaju mungkin bertambah kerana perlu menyalurkan peruntukan untuk proses baik pulih, seperti penyambungan semula elektrik dan air, membaiki pam air dan lif yang rosak.
Namun, ada dalam kalangan pemilik yang teruk terjejas akibat penangguhan bayaran oleh pemaju sehingga terpaksa melelong pangsapuri mereka kerana tidak mampu membayar pinjaman bank.
“Tapi kita hadapi masalah ini sejak 2019, ada sejak 2018, sebelum pandemik Covid-19 melanda negara. Tapi apabila pandemik melanda negara, pemaju beri alasan masalah disebabkan Covid-19, dan operasi ditutup,” tambah Zainuddin.
Pemilik pangsapuri, Fakhrul Adly Hashim, 38, berkata, pintu unitnya tidak lagi dalam keadaan berkunci dan perabot didapati telah hilang.
“Bagi saya, bandingkan dengan blok lain, N3 tu memang teruk sangat keadaannya. Sampai ada pokok menjalar masuk ke dalam rumah.
“Kita tengok memang sedih lah. Sebab kami pemilik semua menanggung bayaran bulanan kepada pihak bank dan ia tidak dapat ditangguhkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Penasihat Keselamatan Kumpulan Sentoria, Francis Quek berkata, pengurusan syarikat menjangkakan operasi taman tema hiburan berkenaan dibuka pada akhir Ogos jika kerja-kerja membaik pulih dan penyelenggaraan berjalan lancar.
“Untuk maklumat, pihak Sentoria juga sedang dalam proses pengambilan pekerja bermula 1 Ogos untuk memulakan proses membuka operasi semula secara berperingkat,” katanya ketika ditemui pada perjumpaan itu.
Beliau juga mencadangkan pemilik untuk mewujudkan satu komuniti supaya urusan komunikasi dengan pemaju boleh dilakukan melalui seorang wakil.
Pada 18 Julai lalu MalaysiaGazette menyiarkan berita mengenai nasib pemilik unit pangsapuri Arabian dan Carribean Bay di BGRC yang terkesan ekoran penutupan operasi taman tema air dan hiburan itu. – MalaysiaGazette