Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

KUALA LUMPUR – Penceramah bebas yang ditahan reman kerana disyaki merogol remaja perempuan berusia 14 tahun akan direman sehingga minggu depan selepas Polis Kontijen Selangor menyerahkan suspek kepada Polis Kuala Lumpur untuk meneruskan siasatan pada hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan berdasarkan laporan polis yang diterima di ibu negara daripada mangsa rogol.

“(Polis) KL akan menerima suspek hari ini daripada Selangor dan reman ke atas suspek penceramah bebas itu mungkin dipohon sehingga minggu depan untuk tujuan tuduh di mahkamah.

“Kita akan kemaskini siasatan sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut pendakwaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi berkata, suspek yang Polis Kontinjen Selangor akan diserah ke Polis Kontinjen Kuala Lumpur bagi tindakan lanjut ekoran tempoh reman lima hari terhadapnya tamat hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Penceramah bebas ditahan rogol remaja

Ustaz didakwa rogol remaja diserah kepada Polis KL esok – Sasikala

Suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada jam 4.50 petang Isnin lalu selepas mangsa membuat laporan polis terhadapnya.

Penceramah bebas dan mangsa didapati saling berkenalan sejak Mei 2021 dan mereka pernah mengadakan hubungan intim beberapa kali di lokasi berbeza.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – MalaysiaGazette