KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di dalam kediamannya yang terbakar di Taman Desa, Country Home Rawang, hari ini.
Mangsa ditemui terbaring di bahagian bilik berhampiran dapur yang dijadikan tempat penyimpanan kertas, kata Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Rawang, Noor Fazida Tina Mohamad Noor.
Menurutnya, mangsa yang dikenali M. Ramon, 58, tinggal bersama kakaknya.
Tetapi semasa kejadian dia berseorangan di rumah.
“Kita menerima panggilan berhubung kejadian pukul 9.30 pagi dan telah menggegaskan pasukan penyelamat dari Balai Bomba Rawang yang tiba 10 minit selepas itu.
“Kebakaran ini melibatkan 20 peratus rumah teres dua tingkat berkeluasan 20×60,” katanya menerusi maklumat yang dikongsikan kepada media, hari ini.
Noor Fazida berkata, mayat mangsa diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut.
Bomba masih menyiasat punca kebakaran. – MalaysiaGazette