Dr. Shamrahayu Abd. Aziz.

KUALA LUMPUR – Datuk-Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin kesal dengan pandangan serta tafsiran mengelirukan oleh Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz mengenai pembesar-pembesari Negeri Sembilan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk-Datuk Undang menzahirkan dukacita dengan siaran bertajuk ‘Temu Bual Bicara Pakar: Sistem Pemerintahan Beraja Negeri Sembilan’ di saluran YouTube Perpustakaan UiTM oleh Shamrahayu bersama Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin pada 8 Julai lalu.

“Datuk-Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menzahirkan rasa dukacita dan kekesalan yang amat dalam dengan tafsiran mengelirukan, separuh masak dan tidak tuntas oleh Shamrahayu mengenai Perkara 181 yang menyentuh kedaulatan Pembesar-Pembesar Memerintah menerusi istilah ‘Raja bagi Negeri Sembilan’ dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kenyataan beliau yang berubah dan tidak konsisten pada dua siaran itu cukup mengguris sensitiviti Datuk-Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin selaku raja bersama di Negeri Sembilan.

“Sayugia dimaklumkan, tafsiran Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan itu hendaklah dibaca bersama Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan; Fasal 6, Fasal 28 dan Fasal 79 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan Perkara 66 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388) untuk pemahaman lebih tuntas dan tepat.

Tafsiran itu wajar mengambil kira amalan sistem beraja di Negeri Sembilan antara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin sejak Perjanjian Konfederasi Negeri Sembilan dimeterai pada 8 Ogos 1895,” katanya dalam kenyataan.

Perjanjian konfederasi Negeri Sembilan 1895.

Untuk makluman, satu lagi video bertajuk ‘Kedaulatan Hanya Milik Raja Pemerintah’ yang disiarkan di Facebook Kursi Institusi Raja-Raja Melayu pada 20 Julai lalu turut mengandungi kandungan serta tafsiran sama.

Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad terguris dengan tindakan Shamrahayu yang tidak bersungguh-sungguh memperbetulkan kekhilafan yang dilakukan apabila dihubungi secara langsung menerusi aplikasi WhatsApp pada 22 Julai 2022.

“Datuk-Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin telah memberi teguran terhadap UiTM dan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu supaya tidak lagi menyentuh secara semberono akan kedudukan Pembesar-Pembesar Memerintah yang menjadi sebahagian institusi raja bagi Negeri Sembilan,” jelasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast