Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 25 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 66 syarikat dikesan membuat tuntutan palsu dana daripada pelaksanaan Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, beliau telah mengarahkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

“Sehingga hari ini seramai 45,379 syarikat telah dapat manfaat menerusi program itu di mana.

“Sebanyak 379 syarikat yang telah tuntut insentif daripada program itu bagi majikan yang mengambil pekerja dalam kalangan warganegara tempatan.

“Ada juga terlepas pandang 66 syarikat menyalahgunakan dana maka agensi KSM Perkeso menjalankan siasatan, untuk kenal pasti 66 syarikat itu,” katanya ketika menyampaikan ucapan ketika Majlis Perasmian Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Terdahulu, beliau berkata, sebanyak RM2 bilion telah dibelanjakan menerusi pelaksanaan PenjanaKerjaya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada dakwaan mengatakan SPRM sedang menyiasat  Perkeso.

“Maka kita serah SPRM untuk menyiasat, tapi biasalah, Ahli Parlimen pembangkang kata berlaku penyelewengan,” jelasnya ketika sidang media.

Untuk rekod, insentif daripada program berkenaan diberikan kepada majikan selama enam bulan yang mengambil pekerja dalam golongan tempatan.

Sehubungan itu, Saravanan menyifatkan isu berkenaan tidak wajar untuk dipolitikkan.

Program Jamin Kerja-Insentif Penggajian yang dikendalikan Perkeso bertujuan untuk menyediakan 300,000 daripada sasaran 600,000 peluang pekerjaan menerusi Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia di bawah Bajet 2022.

Berdasarkan statistik Perkeso, sebanyak 52,157 permohonan untuk program JaminKerja-Insentif Penggajian diterima daripada 7,724 majikan, bagi tempoh 1 Januari hingga 8 Julai 2022.

Katanya lagi, bagi tempoh sama juga, Perkeso telah berjaya menempatkan 99,851 orang pencari kerja menerusi program JaminKerja-Insentif Penggajian dan program-program kebolehpasaran lain. – MalaysiaGazette – MalaysiaGazette