Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama peguamnya, Gobind Singh Deo hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Foto AFFAN FAUZI, 05 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menjalankan siasatan lengkap dalam kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram.

Peguam tertuduh, Gobind Singh Deo berkata, ini kerana Pegawai Siasatan SPRM, Nurul Hidayah Kamaruddin tidak dapat mengemukakan bukti perbelanjaan terperinci yang digunakan Ahli Parlimen Muar itu sebanyak RM20,000 ketika kempen  Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Jumlah itu merupakan baki selepas RM100,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Amanah Sahan Bumiputera (ASB) milik Syed Saddiq.

Malah tegas beliau, Nurul Hidayah dalam keterangannya mengatakan terdapat jumlah baharu baki RM30,000 digunakan oleh bapa Syed Saddiq untuk membayar renovasi rumah keluarga di Elmina, Shah Alam.

Sedangkan, kata Gobind, berdasarkan transaksi bank Syed Saddiq, baki yang tinggal adalah RM20,000 dalam akaun peribadinya yang dimasukkan daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise.

“Jadi jumlah yang dimasukkan adalah RM120,000 sebanyak empat kali transaksi sebanyak RM30,000 di mana RM100,000 dimasukkan ke dalam ASB.

“Jadi bakinya adalah RM20,000 di mana kamu tidak mempunyai butiran perbelanjaan yang digunakan untuk aktiviti kempen Armada.

“Oleh itu macam mana kamu boleh katakan jumlah RM30,000 untuk bapa Syed Saddiq membayar rumah di Elmina.

“Saya boleh katakan kamu tidak menjalankan siasatan penuh untuk kes ini,” katanya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid di sini hari ini.

Gobind yang berang dengan jawapan saksi ke-28 itu yang tidak menjawab soalan yang dikemukakan itu menyifatkan Nurul Hidayah sebagai pegawai penyiasat  gagal dalam kes tersebut.

Malah beliau turut menggelarkan Nurul Hidayah sebagai saksi yang paling teruk yang pernah disoal balasnya.

“Jawapan kamu tidak pasti kerana tidak siasat sendiri dan hanya bersandarkan penyata kewangan Syed Saddiq dan kenyataan rakaman awal oleh pegawai SPRM lain.

“Setiap calon pilih raya sudah pasti ada perbelanjaan dan terdapat perbelanjaan RM170,000 dalam keterangan saksi tapi kamu tidak siasat sendiri dan tidak tanya Syed Saddiq.

“Awak gagal sebagai pegawai penyiasat,” katanya.

Nurul Hidayah pula menjelaskan, siasatannya hanya menjuruskan kepada perbelanjaan RM120,000 berdasarkan transaksi penyata kewangan Syed Saddiq.

Jelas beliau, tiada keperluan untuk menyiasat perbelanjaan lain termasuk jumlah RM170,000.

Namun Nurul Hidayah mengakui tidak tahu mengenai calon perlu mengemukakan penyata perbelanjaan kempen pilihan raya selepas ditanya oleh Azhar.

Beliau sebelum itu memberi jawapan tidak sedar tentang perkara itu.

Perbicaraan akan bersambung pada 3 Ogos ini.

Syed Saddiq, 29, ketika ini berdepan pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta milik sebuah parti politik.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq yang juga bekas menteri didakwa bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan turut dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].
Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast