Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Disebabkan keengganan pengilang menurunkan harga bagi minyak masak botol dua hingga lima kilogram maka kerajaan akan melaksanakan kaedah penentuan harga maksimum bagi barangan keperluan itu.

Menurut Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, langkah itu diambil setelah tempoh dua minggu diberikan kerajaan untuk menurunkan harga bahan itu tidak dituruti pemain industri tersebut.

“Genap dua minggu jawatankuasa memberikan tempoh untuk melihat harga minyak sawit botol diturunkan, nampaknya mekanisme sedia tak berkesan, langkah berunding dan meminta turunkan harga nampaknya tak berkesan dan kerajaan perlu buat ketetapan efektif bagi menjaga kepentingan orang ramai.

“Jawatankuasa Jihad Memerangi Inflasi telah membuat keputusan bahawa kerajaan akan mewartakan harga minyak masak botol mengikut kaedah sedia ada iaitu penentuan harga maksimum bagi minyak masak botol.

“Ini akan dibuat dengan perincian tertentu oleh KPDNHEP dan menetapkan tarikh bila ianya akan diwartakan,” katanya dalam sidang media mingguan selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Memerangi Inflasi yang berlangsung di Parlimen hari ini.

Ditanya mengenia tarikh pelaksanaan harga maksimum minyak masak botol, Annuar berkata, pelaksanaan itu akan dibuat minggu depan.

“Dijangka kira-kira seminggu boleh disempurnakan urusan pewartaaan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Annuar berkata, kerajaan turut membuat ketetapan untuk menghentikan eskport minyak masak peket ke luar negara.

“Tidak akan dibenarkan lagi sebarang eksport minyak masak dalam bentuk polibeg kerana ini menimbulkan kekeliruan dan kita telah menyebutkan kita menetapkan minyak masak bersubsidi hanya ada dalam bentuk polibeg dan pihak berkuasa perlu kuatkuasakan yang minyak masak sedemikian tidak boleh dieskport.

“Apabila ada pengeksport minyak masak masa dalam bentuk yang hampir serupa ia menimbulkan masalah kepada penguatkuasa maka tidak dibenarkan lagi sebarang eksport minyak masak dalam bentuk polibeg,” katanya.

Justeru, katanya, pengeskport mesti mencari kaedah lain bagi mengeksport minyak masak.

“Pihak KPDNHEP akan beruinding dengan pihak terbabit terutamanya yang mengeluarkan lesen-lesen eskport minyak masak dalam bentuk polibeg,” jelas Annuar lagi.

Larangan itu, jelas Annuar berkuatkuasa serta merta dan KPDNHEP tidak lagi akan mengeluarkan lesen membenarkan eksport minyak masak dalam bentuk polibeg. – MalaysiaGazette