Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) (Pindaan) Perlembagaan (No.3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti diterima semua ahli Parlimen kerajaan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, semua ahli Parlimen yang hadir hari ini positif RUU ini akan dapat diluluskan minggu ini.

“Tidak ada penolakan daripada mana-mana ahli Parlimen yang menyokong kerajaan, ini kerana semua menunggu RUU ini tapi hanya ada satu di mana ahli-ahli Parlimen mahu senator juga masuk tetapi jawatankuasa kita buat keputusan kerana kita ada lima mesyuarat setiap kali tidaka kurang sehingga tiga jam.

“Kita bincang tapi keputusan dibuat oleh jawatankuasa biar kerajaan tumpu kepada RUU ini dahulu dan kalau ada keperluan pada masa akan datang sekiranya mahu senator dimasukkan dalam RUU itu termasuk senator lantikan negeri,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas satu sesi libat urus antara kerajaan dengan ahli-ahli Parlimen penyokong kerajaan di Parlimen sebelum itu.

Antara yang hadir adalah Datuk Seri Nazri Aziz (BN-Padang Rengas), Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).

Jelasnya lagi, semua ahli Parlimen yang hadir mengemukakan cadangan agar mereka diberikan ruang yang cukup bagi membahaskan RUU berkenaan.

Katanya, RUU ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan pelbagai pihak.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, sesi kedua esok akan melibatkan ahli-ahli Parlimen pembangkang memberikan keterangan lanjut mengenai RUU berkenaan.

Dalam pada itu, katanya, terdapat dua peringkat untuk ia dilaksanakan pada September depan.

“Apabila RUU ini diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk diperkenankan dibawah Perkara 66 (3).

“Apabila Tuanku telah beri perkenan, maka RUU ini perlu dikuatkuasakan dan kembali ke JPM dan Peguam Negara.

“Kita akan menulis kepada Tuanku meminta agar RUU ini dikuatkuasakan dan mendapat perkenan maka RUU ini akan diwartakan,” katanya.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka meluangkan masa untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) (Pindaan) Perlembagaan (No.3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti di Parlimen pada Rabu ini. – MalaysiaGazette