KUANTAN – “Masa itu saya sudah rasa tak tentu arah, masih tak percaya bahawa Iman sudah dijumpai.”
Itu reaksi Nurfaizah Mahadi, 25, selepas mengetahui berita penemuan mayat tunangnya, Muhammad Iman Aqmar atau panggilan mesranya Iman pada 23 Julai lalu selepas hilang hampir 10 bulan lalu.
“Masa itu saya sudah rasa tak tentu arah, masih tak percaya bahawa Iman dah dijumpai,” katanya ketika ditemui di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota hari ini.
Beliau mengakui terkejut sejurus dimaklumkan ibu allahyarham tunangnya ketika itu.
“Memang kita nak tunggu jawapan itu. Memang berharap dia (Iman) balik dengan sempurna,” ulasnya menahan sebak.
Allahyarham Muhammad, 25, dan Nurfaizah sepatutnya melangsungkan pernikahan ketika ulang tahun kelahiran tunangnya itu pada Disember lalu namun hajat mereka tidak kesampaian.
“Sebab ayah saya meninggal bulan lapan tahun lepas, kami tangguhkan perkahwinan dan sepatutnya bulan ini,” jelasnya yang reda dengan ketentuan tuhan.
Sambil menahan sebak, Nurfaizah memberitahu dia pernah beberapa kali bermimpi bertemu arwah tunangnya sebelum ini.
“Setiap kali mimpi, saya tanya dia ‘awak kat mana’, ‘bila awak nak balik’? Tapi dia cuma senyum, dia tunduk dan saya tersedar,” katanya.
Walaupun beberapa kali merasakan seperti sudah berputus asa dan patah hati kerana terlalu rindukan Muhammad Iman, Nurfaizah akan menguatkan semangat demi kelangsungan hidup.
“Saya manusia biasa tapi saya fikir ibu saya, adik-adik saya. Kalau saya patah semangat nanti emak Iman patah semangat, ibu saya patah semangat, jadi saya memang kena kuat,” luah Nurfaizah.
Apakan daya, katanya, perkenalan selepas habis zaman persekolahan yang sepatutnya berakhir di jenjang pelamin tinggal kenangan buat Nurfaizah.
Jenazah Muhammad Iman dibawa dari Hospital Tengku Ampuan Afzan ke Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota, di sini pada pukul 2.30 petang untuk dimandikan.
Jenazah seterusnya dikafan dan disembahyangkan di masjid yang sama sebelum dibawa pulang ke Pasir Gudang, Johor Bahru untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir Putih.
Terdahulu, polis mengesahkan menemui satu rangka manusia di dalam Sungai Api-Api, Nenasi dua hari lalu bersama-sama pas pekerja tertera nama Iman Aqmar.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina yang dijumpai seorang lelaki warga emas semasa dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Lelaki hilang hampir setahun ditemui dalam kereta terjunam ke sungai