Hisyam Teh Poh Teik

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak telah melantik peguam terkenal, Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama mewakilinya dalam prosiding akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang akan didengar pada 15 Ogos depan.

Untuk makluman, Hisyam juga merupakan peguam bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi ketika ini.

Media melaporkan, firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) yang baharu dilantik Najib dalam suratnya telah memaklumkan  Pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Najib melantik Hisyam sebagai peguam utama dan Liew Teck Huat serta Rueben Mathiaravanam sebagai peguam bersama.

Dalam surat berkenaan turut dinyatakan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak lagi mewakili Najib dalam kes rayuan akhir berkenaan.

Hari ini umum dikejutkan dengan tindakan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan telah menukar pasukan pembelaan sedia ada bagi kes rayuan akhir SRC.

Untuk makluman juga Muhammad Shafee telah mewakili Najib sejak 4 Julai 2018 sehingga kini.

Dalam pada itu, Najib juga telah memohon untuk menangguhkan pendengaran rayuan akhir kes penyelewengan dana milik syarikat pelaburan strategik negara  dihadapinya di Mahkamah Persekutuan pada Ogos kelak dalam surat kepada Pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Dalam permohonan memaklumkan peguam yang baharu dilantik diarahkan oleh Najib untuk berhujah pada sebutan kes akan datang mengenai penangguhan rayuan utama yang ditetapkan, bagi pendengaran bermula pada 15 Ogos ini.

Selain itu, mereka juga diarahkan oleh Najib untuk menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk diwakili Queen’s Counsel, Jonathan Laidlaw.

Sebelum ini, tahun lalu Disember, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib, selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Najib lantik Zaid ketuai rayuan akhir kes SRC International